KUALA LUMPUR, 28 April – Kementerian Pertahanan (MINDEF) menegaskan komitmen untuk memperkasa pemodenan sistem perkhidmatan melalui penggunaan kecerdasan buatan (AI), automasi dan teknologi digital dalam usaha meningkatkan kecekapan serta kesiagaan kementerian menghadapi cabaran masa depan.
Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pemodenan ini bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu keperluan mendesak demi penyampaian perkhidmatan yang lebih tangkas, mapan dan berdaya saing.
“Penggunaan automasi, kecerdasan buatan (artificial intelligence AI), big data dan integrasi sistem akan dapat mengurangkan beban tugas manual dan pembaziran sumber,” katanya dalam ucapan pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang Kementerian Pertahananhari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali.
Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain.
Sehubungan itu, beliau berkata, MINDEF perlu membuat perancangan dan pelaburan sewajarnya bagi memastikan keupayaan serta kebolehan warga kerja kita sentiasa dilebarkan dan diperkasakan dari semasa ke semasa.
“Teknologi canggih sahaja tidak mencukupi. Tenaga kerja yang mahir, berdedikasi dan berdaya saing menjadi tunjang kepada kejayaan pelaksanaan pendigitalan perkhidmatan,” katanya.
Terdahulu, Lokman Hakim telah menyampaikan Sijil APC kepada 304 pegawai awam MINDEF dan 49 anggota serta pesara awam bersara pilihan sebagai penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2024.
Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera turut menyampaikan sijil yang sama kepada 45 anggota Angktan Tentera Malaysia (ATM) pada majlis tersebut.-airtimes.my
#pertahanan #MINDEF #teknologiAI #APC #airtimes #Malaysia