ISLAMABAD, 29 APRIL – Pakistan memberi amaran tidak akan teragak-agak untuk menggunakan senjata nuklear terhadap India sekiranya keselamatan negara itu berada dalam keadaan terancam.
Amaran ini dikeluarkan susulan ketegangan yang memuncak dengan India selepas serangan berdarah di Kashmir yang mengorbankan 26 orang awam.
Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Muhammad Asif berkata, pihaknya tidak menolak sebarang kemungkinan pencerobohan ketenteraan oleh India akan berlaku dalam masa terdekat.
“Kami telah memperkukuhkan pasukan tentera kami kerana ini adalah sesuatu yang dijangka berlaku dalam masa terdekat. Dalam keadaan sebegini, beberapa keputusan strategik perlu diambil, dan keputusan itu telah pun dibuat,
“Pihak tentera Pakistan telah memberi taklimat kepada kerajaan mengenai kemungkinan serangan dari India,
“Pakistan kini berada dalam keadaan berjaga-jaga tinggi namun hanya akan menggunakan senjata nuklear sekiranya “wujud ancaman langsung terhadap kewujudan kami,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Reuters, semalam.
Tegas beliau, Pakistan turut memperkukuh kehadiran tenteranya di sempadan sebagai timbal balas kepada tindakan India yang menutup sempadan antara kedua-dua negara meskipun dalang serangan masih dalam siasatan.
Mengulas lanjut, Pakistan turut mengkritik tindakan India yang menggantung Perjanjian Air Indus yang telah dimeterai sejak 1960. Pakistan menyifatkan tindakan itu sebagai satu bentuk serangan perang.
“Tindakan menghalang bekalan air ke kawasan yang memerluan adalah satu “tindakan perang”, dan bahawa perjanjian tersebut, yang kekal walaupun pernah diuji konflik terdahulu juga disokong oleh penjamin antarabangsa.
“Kami telah pun merujuk isu perjanjian ini kepada pihak berkaitan. Saya menyeru komuniti antarabangsa dan Bank Dunia agar melindungi perjanjian tersebut,” tambahnya.
Ketegangan antara India dan Pakistan bukan isu baharu. Kedua-dua negara pernah berperang sebanyak beberapa kali berhubung wilayah Kashmir sejak pemisahan pada 1947.
Namun, kenyataan terbaru Pakistan mengenai kemungkinan penggunaan senjata nuklear menandakan peningkatan risiko konflik terbuka pada tahap yang lebih berbahaya.
Terdahulu, Airtimes melaporkan, ketegangan dua hala terus meningkat apabila India menggantung Perjanjian Air Indus 1960, iaitu perjanjian penting berkaitan perkongsian sumber air sungai utama dan menutup semua laluan sempadan darat dengan Pakistan. Bukan itu sahaja, India turut menarik semula pemberian visa kepada warga Pakistan.
Sebagai tindak balas, Islamabad bertindak menutup sepenuhnya ruang udara negara itu kepada semua penerbangan India, termasuk penerbangan komersial dan kargo, berkuat kuasa 24 April lalu.
Pakistan turut membekukan semua bentuk perdagangan, termasuk melalui pihak ketiga bersama India serta menggantung segala kemudahan visa untuk rakyat India. -airtimes.my
#Pakistan #India #Konflik #serangan #AirTimes