if ( function_exists( 'wp_body_open' ) ) { wp_body_open(); } else { do_action( 'wp_body_open' ); } ?>
Home SemasaGlobal Perang Rusia-Ukraine: Korea Utara mengaku hantar tentera ke Rusia

Perang Rusia-Ukraine: Korea Utara mengaku hantar tentera ke Rusia

by Suraya Aziz

PYONGYANG, 28 APRIL – Korea Utara secara terbuka mengaku telah menghantar tentera ke Rusia untuk berperang menentang Ukraine, susulan arahan daripada pemimpin tertinggi mereka, Kim Jong Un, berdasarkan perjanjian strategik antara kedua-dua negara.

Suruhanjaya Ketenteraan Pusat Parti Pekerja Korea (WPK) berkata, sub-unit angkatan tentera Republik Rakyat Demokratik Korea (DPRK) memainkan peranan penting dalam operasi membebaskan wilayah Kursk daripada kawalan tentera Ukraine.

“Sub-unit angkatan tentera kita yang mengambil bahagian dalam operasi membebaskan kawasan Kursk, mengikut arahan Ketua Negara DPRK, telah mempamerkan semangat juang yang tinggi, keberanian luar biasa, serta semangat pengorbanan yang agung, sekali gus menyumbang besar dalam memusnahkan pasukan neo-Nazi Ukraine dan membebaskan wilayah Rusia,” menurut kenyataan itu kepada Korean Central News Agency (KCNA).

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un menyifatkan, penyertaan ini sebagai satu misi suci untuk memperkukuhkan persahabatan tradisional dengan Rusia dan mempertahankan maruah negara.

“Mereka yang berjuang demi keadilan adalah semua wira dan lambang kehormatan tanah air,” ujarnya dalam kenyataan tersebut.

Beliau turut mengarahkan agar keluarga tentera yang terlibat diberikan penghormatan dan layanan istimewa, selain memperingati pengorbanan para tentera dengan mendirikan monumen khas di ibu negara, Pyongyang.

Menurut KCNA, keputusan untuk menghantar tentera dibuat selepas tentera Ukraine, dengan sokongan senjata dan teknologi Barat, menyerang dan menduduki lebih 1,200 kilometer persegi wilayah Kursk sejak Ogos 2024.

Serangan tersebut dilaporkan telah menyebabkan kemusnahan besar infrastruktur, memusnahkan banyak kawasan kediaman dan mengakibatkan kematian ramai penduduk awam.

Mengulas lanjut, Suruhanjaya Ketenteraan Pusat turut menegaskan, tindakan tentera DPRK dalam wilayah Rusia adalah mematuhi Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa yang relevan.

“Perjuangan bersama yang dicapai dengan pertumpahan darah ini akan memperkukuhkan lagi hubungan persahabatan dan kerjasama antara DPRK dan Rusia dalam semua aspek pada masa hadapan,” tambah kenyataan itu.

Sebelum ini, Rusia mahupun Korea Utara tidak pernah mengesahkan atau menafikan penghantaran tentera tersebut ke medan konflik bersama Ukraine.

Namun sejak beberapa bulan lalu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky semakin kerap mendakwa telah menemui bukti penglibatan Korea Utara dalam membantu Rusia, termasuk melalui rakaman dron yang menunjukkan pergerakan warganegara Korea Selatan dalam persalinan rasmi tentera Rusia.

Malah, terdapat serpihan peluru berpandu buatan Korea Utara turut ditemui di beberapa lokasi pertempuran, sekali gus menguatkan dakwaan bahawa Pyongyang terlibat secara langsung dalam konflik tersebut.

Difahamkan secara keseluruhan, seramai lebih 10 ribu tentera Korea Utara telah dihantar ke Rusia dengan sebahagian daripada mereka dilaporkan ditempatkan di kawasan pertempuran utama di wilayah timur dan selatan Ukraine. -airtimes.my

#AirTimes #Rusia #Ukraine #KoreaUtara #Perang #Konflik

Related Articles

Leave a Reply