PUTRAJAYA, 28 April – Malaysia mengiktiraf pendirian tegas Kerajaan Maldives yang melarang kemasukan warga Israel ke negara itu, sebagai satu langkah berani yang menunjukkan sokongan penuh terhadap rakyat Palestin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan, bahawa rakyat Malaysia turut berkongsi sentimen dan aspirasi yang sama sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin.
“Kerajaan dan rakyat Malaysia memberikan penghormatan tinggi terhadap keberanian dan prinsip yang ditunjukkan oleh Presiden Maldives, Mohamed Muizzu,” katanya pada sidang media bersama Presiden Maldives sempena lawatan rasmi beliau ke Malaysia hari ini.
Anwar turut menjelaskan bahawa Malaysia telah lama mengamalkan pendirian yang serupa, berikutan keenganan Israel untuk menghormati hak asasi manusia dan menghentikan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin.
Kerajaan Maldives, pada 16 April lalu, telah mengumumkan larangan kemasukan warga Israel dan meminda Akta Imigresen Maldives selepas mendapat kelulusan daripada Majlis Rakyat negara itu.
Sementara itu, Presiden Muizzu turut menyatakan kekagumannya terhadap pendirian tegas Anwar dalam menyuarakan sokongan Malaysia terhadap rakyat Palestin di peringkat antarabangsa.
“Kerajaan Maldives menegaskan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan rakyat Palestin dalam usaha mereka untuk mencapai kebebasan daripada pendudukan haram Israel,” ujarnya lagi.
Dalam masa yang sama, Muizzu menegaskan, rakyat Palestin berhak untuk memiliki sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, dengan sempadan sebelum 1967, serta Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.-airtimes.my
#Malaysia #Maldives #Anwar #Palastin #airtimes