LUMUT, 27 April – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kini berhadapan cabaran besar apabila keupayaan tempur armadanya semakin terhakis akibat keusangan aset yang berusia, sekali gus memberi tekanan kepada penyelenggaraan aset sedia ada.
Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk (Dr.) Zulhelmy Ithnain berkata, usia aset yang meningkat menyebabkan tuntutan penyelenggaraan bertambah berat di samping keperluan operasi yang semakin tinggi.
“Keadaan ini menuntut perancangan teliti dan komitmen berterusan agar kesiapsiagaan TLDM dapat dikekalkan, walaupun berdepan kekangan aset dan sumber,” katanya dalam ucapan sempena Perbarisan Kemuncak Sambutan Hari TLDM Ke-91 di Padang Kawad KD PELANDOK, hari ini.
Beliau berkata, antara langkah strategik yang diambil termasuk mempergiat perolehan aset baharu seperti Littoral Combat Ship (LCS), Littoral Mission Ship Batch 2 (LMSB2) serta Fast Interceptor Craft (FIC).
Tegasnya, perolehan ini dilihat sebagai langkah strategik dalam memastikan TLDM terus ampuh dalam mempertahankan kedaulatan maritim negara.
Selain itu, Zulhelmy berkata, program Mid Life Upgrade (MLU) bagi kapal selam turut dirancang bagi memastikan aset strategik milik negara ini kekal relevan, berkeupayaan tinggi serta mampu melaksanakan misi pertahanan bawah permukaan, risikan dan serangan strategik dengan lebih berkesan.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain berkata, antara projek strategik yang kini berjalan lancar mengikut jadual ialah pembinaan kapal Littoral Mission Ship Batch 2 (LMSB2), Kapal Tempur Pesisir (LCS) dan perolehan Fast Interceptor Craft (FIC). Foto: TLDM
“Walau bagaimanapun, dalam usaha meneruskan penambahan perolehan aset ini, beberapa aset lain juga terpaksa dilucut tauliah sebelum penerimaan aset baharu kerana keadaan yang terlalu usang,
“Ini sedikit sebanyak turut menyumbang kepada bebanan keperluan operasi namun saya percaya berbekalkan semangat dan iltizam warga the Navy People, permasalahan ini akan dapat diatasi dengan baik dan lancar,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, TLDM juga menekankan pelaksanaan Empat Teras Utama termasuk memperkasa kesiapsiagaan armada, mengukuhkan sinergi operasi bersama angkatan lain, memperkasa transformasi platform serta memperkukuh pengurusan sumber manusia.
Terdahulu, Panglima Tentera Laut telah menyaksikan perbarisan yang terdiri daripada enam kontinjen yang melibatkan 23 pegawai dan 621 anggota yang diketuai oleh Komander Zakirunizam Ismail TLDM.
Dengan bertemakan ‘TLDM Perkasa, Kedaulatan Terpelihara’, Sambutan Hari TLDM ke-91 kali ini disambut dengan sederhana dan berhemah, mengambil kira insiden yang berlaku pada 2024 yang masih meninggalkan kesan mendalam.
Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Tentera Laut memaklumkan, masyarakat masih berpeluang mendekati warga TLDM melalui Hari Terbuka Armada (HTA) yang akan berlangsung di beberapa pangkalan utama seperti Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Tanjung Gelang di Kuantan, Sandakan dan Langkawi. -airtimes.my
#pertahanan #TLDM #airtimes #Navypeole #Malaysia