if ( function_exists( 'wp_body_open' ) ) { wp_body_open(); } else { do_action( 'wp_body_open' ); } ?>
Home Semasa Pakistan tutup ruang udara kepada India, ketegangan kian memuncak

Pakistan tutup ruang udara kepada India, ketegangan kian memuncak

by Suraya Aziz

PAKISTAN, 24 APRIL – Pakistan bertindak drastik menutup ruang udaranya kepada syarikat penerbangan India sebagai tindak balas terhadap keputusan New Delhi menggantung Perjanjian Air Indus, susulan serangan berdarah di Kashmir yang mengorbankan 26 pelancong.

Langkah tersebut diumumkan sebagai mesej keras kepada India, yang disifatkan Islamabad sebagai bertindak secara provokatif dan berpotensi mencetuskan konflik besar di rantau itu.

“Sebarang cubaan untuk menyekat atau mengalihkan hak air Pakistan akan dianggap sebagai tindakan perang, dan kami akan bertindak dengan segala kekuatan yang ada,” tegas pejabat Perdana Menteri Shehbaz Sharif dalam satu kenyataan yang dipetik agensi berita antarabangsa.

Selain menutup ruang udara, Pakistan turut menggantung semua bentuk perdagangan dengan India, termasuk yang dilakukan melalui negara ketiga. Visa khas Asia Selatan bagi warganegara India juga telah ditarik balik.

Islamabad turut memberi bayangan bahawa semua perjanjian bilateral termasuk Perjanjian Simla 1972 iaitu asas utama hubungan dua hala pasca perang, mungkin akan ditangguhkan.

Tindakan ini menyusul selepas India melalui Kementerian Luar Negeri menggantung pengeluaran visa kepada rakyat Pakistan dan membatalkan semua visa yang telah dikeluarkan.

Pihak polis India mendakwa serangan bersenjata di Kashmir didalangi oleh individu yang dipercayai merupakan warganegara Pakistan.

Setakat ini, India telah mengambil beberapa langkah tegas terhadap Pakistan termasuk menggantung Perjanjian Air Indus, menutup pos sempadan darat Attari-Wagah, mengusir semua warganegara Pakistan dalam tempoh 48 jam serta membatalkan kemudahan visa di bawah Skim SAARC.

Kedua-dua negara turut mengisytiharkan penasihat ketenteraan yang ditempatkan di misi diplomatik masing-masing sebagai persona non grata, dan bersetuju mengehadkan jumlah pegawai Suruhanjaya Tinggi kepada hanya 30 orang diplomat dan staf.

Sebagai latar, Perjanjian Air Indus yang dimeterai pada 1960 dengan pengantaraan Bank Dunia mengatur pembahagian Sungai Indus dan anak-anak sungainya antara India dan Pakistan.

Pakistan amat bergantung kepada aliran air dari India untuk tenaga hidro dan sistem pengairan – menjadikan perjanjian tersebut sebagai tulang belakang kelangsungan ekonomi dan kehidupan harian lebih 240 juta penduduk negara itu. -airtimes.my

#AirTimes #Konflik #Antarabangsa #Pakistan #India #AirIndus

Related Articles

Leave a Reply