PUTRAJAYA, 24 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tiada sebarang layanan dua darjat dalam menangani isu kesilapan paparan Jalur Gemilang yang tular mutakhir ini, termasuk dalam laporan rasmi kerajaan dan bahan promosi syarikat swasta.
Menerusi taklimat harian oleh Pejabat Perdana Menteri, Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, prinsip keadilan dan hormat pada simbol negara perlu ditegakkan oleh semua tanpa memberi sebarang pengecualian.
“Tiada layanan dua darjat dalam isu ini. Siasatan dilakukan tanpa mengira pihak yang terlibat sama ada media tempatan, syarikat antarabangsa mahupun agensi kerajaan,
“Prinsip keadilan dan hormat kepada simbol negara mesti ditegakkan oleh semua, tanpa pengecualian,” katanya hari ini.
Kenyataan itu dibuat susulan beberapa insiden yang mencetuskan kebimbangan awam, antaranya paparan bendera negara yang tidak lengkap dalam laporan keputusan SPM 2024 oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), video promosi sebuah syarikat luar negara di pameran tempatan, serta akhbar Sin Chew Daily.
Perdana Menteri turut menyuarakan kebimbangan terhadap kecuaian yang dipercayai berpunca daripada penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan imej bendera tersebut.
“Samada sengaja atau tidak, hakikatnya ia tetap menyentuh sensitiviti nasional yang tidak boleh dipandang ringan,” katanya.
Dalam masa yang sama, Perdana Menteri menyambut baik inovasi teknologi, namun mengingatkan bahawa AI tidak boleh menggantikan tanggungjawab editorial dan semakan manusia.
“Setiap bahan yang melibatkan simbol negara mesti melalui semakan teliti dengan semangat hormat dan tanggungjawab bersama. AI ialah alat yang hebat, tetapi jika digunakan secara cuai, ia boleh mengundang implikasi besar terhadap keharmonian negara,” ujarnya.
Beliau turut menggesa semua kementerian agar lebih peka dan bertanggungjawab dalam menjaga identiti negara, khususnya dalam dokumen rasmi yang memberi kesan langsung kepada jutaan rakyat.– airtimes.my
#semasa #Anwar #JalurGemilang #airtimes #Malaysia