KUALA LUMPUR, 24 APRIL – Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Sri Azalina Othman Said akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda, bagi menyertai Sesi Pendengaran Awam Pendapat Nasihat berhubung kewajipan Israel terhadap Wilayah Palestin yang diduduki.
Kenyataan negara dijadual akan disampaikan pada 28 April, jam 11.00 malam waktu Malaysia.
Kementerian Luar (Wisma Putra) menegaskan, penglibatan Malaysia dalam prosiding ini mencerminkan pendirian konsisten negara terhadap prinsip keadilan dan tanggungjawab antarabangsa.
“Penyertaan berterusan Malaysia dalam prosiding Pendapat Nasihat ICJ menzahirkan komitmen negara yang tidak berbelah bahagi dalam menegakkan keadilan, keamanan dan kepatuhan kepada undang-undang antarabangsa,
“Malaysia akan terus menyokong perjuangan rakyat Palestin dalam merealisasikan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai Ibu Negara,” kata Wisma Putra dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Malaysia sebelum ini turut mengemukakan Kenyataan Bertulis pada 28 Februari lalu, yang menekankan kewajipan Israel terhadap PBB, organisasi antarabangsa dan negara ketiga di Wilayah Palestin yang Diduduki.
“Dalam Kenyataan Negara, Azalina akan mengusulkan hujah-hujah perundangan bagi mensabitkan kewajipan dan akauntabiliti ke atas Israel yang terus menghalang rakyat Palestin dalam penentuan hak nasib sendiri (self-determination),” tambah Wisma Putra.
Prosiding ini berlandaskan Resolusi 79/232 yang diluluskan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 19 Disember 2024.
Menurut Wisma Putra, Azalina akan diiringi pegawai kanan dari Kementerian Luar Negeri, Jabatan Peguam Negara, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang serta Kedutaan Malaysia di The Hague.
Untuk rekod, Malaysia merupakan penaja bersama resolusi tersebut sebagai sebahagian daripada Kumpulan Teras Negara-Negara Sepemikiran, bagi mensabitkan kebertanggungjawaban Israel terhadap keganasan di Palestin. -airtimes.my
#Azalina #Palestin #Global #Malaysia #Israel