if ( function_exists( 'wp_body_open' ) ) { wp_body_open(); } else { do_action( 'wp_body_open' ); } ?>
Home SemasaGlobal Lima maut, pesawat polis terjunam di laut Thailand

Lima maut, pesawat polis terjunam di laut Thailand

by Aqilah Azman

BANGKOK, 25 APRIL – Seramai lima anggota polis dilaporkan terkorban selepas sebuah pesawat ringan Viking DHC-6 Twin Otter mereka terhempas ke laut di Daerah Hua Hin, wilayah Prachuap Khiri Khan pada pagi Jumaat.

Jurucakap Polis Diraja Thailand, Pol Lt Jen Achayon Kraithong mengesahkan insiden itu berlaku pada jam 8 pagi waktu tempatan semasa penerbangan ujian sebagai persediaan untuk latihan payung terjun.

“Seorang anggota yang cedera parah, kini sedang bertarung nyawa telah dihantar ke hospital Hua Hin,” nyatanya.

Menurut rakaman video, disaksikan oleh tetamu hotel dan penduduk tempatan yang berada di kawasan berdekatan, kejadian menunjukkan pesawat berkenaan menjunam secara mendadak sebelum terhempas ke dalam perairan.

Sehubungan itu, Achayon berkata siasatan sedang dijalankan bagi menentukan punca kemalangan itu.

“Usaha termasuk memeriksa serpihan pesawat, menganalisis kotak hitam pesawat, dan mengumpul bukti teknikal dengan bantuan pihak berkuasa penerbangan yang berkaitan untuk siasatan menyeluruh,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Pol Jen Kittirat Panpet mengarahkan supaya sokongan penuh diberikan kepada keluarga mangsa yang terkorban dan mengarahkan pengebumian penuh penghormatan bagi menghargai pengorbanan anggota.

Dalam pada itu, Pol Jeneral Kittirat juga menekankan perlunya siasatan menyeluruh bagi mengelakkan kejadian itu berulang pada masa depan.

Polis Diraja Thailand merakamkan ucapan takziah atas kehilangan perwira negara yang gugur dalam insiden itu yang mengorbankan nyawa mereka dalam menjalankan tugas. -airtimes.my

#AirTimes #PolisThailand #pesawatterhempas #Thailand

Related Articles

Leave a Reply