if ( function_exists( 'wp_body_open' ) ) { wp_body_open(); } else { do_action( 'wp_body_open' ); } ?>
Home Semasa Kecuaian dalam memaparkan Jalur Gemilang akan dikenakan tindakan undang-undang – Menteri Dalam Negeri

Kecuaian dalam memaparkan Jalur Gemilang akan dikenakan tindakan undang-undang – Menteri Dalam Negeri

by Suraya Aziz

PUTRAJAYA, 22 APRIL – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan, sebarang kelalaian, kealpaan dan kecuaian dalam memaparkan bendera Malaysia secara tidak lengkap akan ditangani mengikut peruntukan undang-undang.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Jalur Gemilang merupakan lambang identiti negara yang berdaulat. 

“Saya ambil peluang ini untuk mengingatkan semua pihak bahawa bendera ini adalah lambang identiti negara yang membawa pelbagai makna dan maksud disebaliknya,

“Jadi sebarang bentuk kelalaian, kecuaian, kealpaan yang boleh mengundang rasa resah di kalangan masyarakat sebaik-baiknya perlu dielakkan,

“Dan jika sudah berlaku, maka ianya perlu ditangani dengan penuh tanggungjawab dan kebijaksanaan. Kita ada undang undang,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan KDN pada Selasa.

Kenyataan itu merujuk kepada isu paparan Jalur Gemilang yang hilang elemen bulan sabit oleh beberapa syarikat media termasuk  akhbar bahasa Cina, Sin Chew Daily baru-baru ini.

Dalam pada itu, sebagai salah satu agensi kawal selia berkaitan media dan penerbitan selain Kementerian Komunikasi, KDN menjamin akan meneliti perkara ini secara profesional berdasarkan dua akta utama.

Antaranya ialah Akta Lambang dan Bendera (Pencegahan Penggunaan Tidak Wajar) 1963 (Akta 414) serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

“KDN telah menghubungi pihak Sin Chew yang terlibat, dan mereka telah memberikan maklum balas,

“Seperti biasa kita juga mesti menjalankan tugas dengan baik dengan cekap dan profesional. Kita akan hanya membuat satu-satu keputusan berasaskan kepada fakta yang mereka berikan,” tambahnya.

Terdahulu, pada 15 April, sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan dilaporkan memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit dan disiarkan sebagai muka depan.

Sin Chew Daily bukan sahaja disiasat serta-merta, malah berdepan kritikan hebat daripada rakyat Malaysia khususnya.

Dalam ilustrasi berkenaan, Jalur Gemilang yang tidak lengkap dipaparkan bersebelahan bendera China sempena liputan bekenaan lawatan oleh Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia.

Malah, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim turut menegaskan kesilapan memaparkan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit itu tidak boleh diterima.

Setakat ini, belum ada kenyataan lanjut berhubung bentuk tindakan yang bakal dikenakan, melainkan jaminan bahawa KDN akan bertindak secara adil dan berdasarkan lunas perundangan. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Bendera #JalurGemilang #KDN

Related Articles

Leave a Reply