if ( function_exists( 'wp_body_open' ) ) { wp_body_open(); } else { do_action( 'wp_body_open' ); } ?>
Home Semasa Siasat tindakan akhbar papar Jalur Gemilang tanpa lambang bulan sabit

Siasat tindakan akhbar papar Jalur Gemilang tanpa lambang bulan sabit

by Zaki Salleh

IPOH, 16 APRIL –  Satu laporan polis telah dibuat oleh seorang petugas media berhubung imej bendera Malaysia yang dipaparkan pada muka depan sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan yang  digambarkan secara tidak lengkap.

Paparan grafik tersebut menunjukkan Jalur Gemilang tanpa lambang bulan sabit, salah satu elemen penting yang melambangkan Islam sebagai agama Persekutuan.

Pengadu, Kamal Abas, 52, memberitahu dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Bagan Serai sebagai tanda prihatin atas kesilapan yang tidak sepatutnya dipaparkan pada bendera negara.

Menurut Kamal, beliau mengetahui perkara itu setelah terlihat satu hantaran pada laman Facebook ‘Tionghua Berjiwa Malaysia’ pada pukul 5.30 petang tadi.

Laman tersebut mempersoalkan kehilangan lambang bulan sabit pada grafik Jalur Gemilang yang disiarkan akhbar harian arus perdana berbahasa cina.

“Bagi mendapatkan kepastian, saya telah mendapatkan akhbar fizikal tersebut di sebuah kedai di Jalan Besar Bagan Serai.

“Setelah meneliti, ternyata benar Jalur Gemilang yang dipaparkan dalam grafik berkaitan lawatan Presiden China ke negara ini tidak mempunyai lambang bulan sabit,” katanya ketika dihubungi Air Times.

Katanya, laporan tersebut sebagai aduan rasmi selain siasatan diambil bagi ttindakan sewajarnya demi menjaga maruah negara dan perpaduan rakyat.

Kamal menyifatkan paparan grafik tersebut sebagai satu bentuk penyalahgunaan serta pengubahan lambang rasmi negara yang jelas bercanggah dengan Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 (Akta 414).

Menurutnya, tindakan sedemikian boleh mencetuskan kekeliruan masyarakat, kemarahan awam dan menjejaskan kesucian simbol negara.

“Perkara ini bukan sahaja menyentuh sensitiviti umat Islam, malah ia boleh ditafsir sebagai bentuk provokasi halus yang tidak seharusnya berlaku dalam penerbitan arus perdana,” katanya lagi.

Beliau turut menggesa agar satu siasatan menyeluruh dijalankan terhadap pihak editorial dan grafik akhbar berkenaan untuk menentukan sama ada terdapat unsur kecuaian atau niat tertentu di sebalik penerbitan itu.

Kes berkaitan kesilapan pada Jalur Gemilang telah banyak kali berlaku dan sering berulang atas sebab yang pelbagai selain kecuaian.

Pada tahun lalu timbul isu melibatkan penggunaan Jalur Gemilang terbalik pada jersi pemain perseorangan lelaki profesional badminton negara Lee Zii Jia.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyifatkan isu tersebut sebagai kesilapan ketara dan kecuaian kritikal oleh pihak yang bertanggungjawab.

Penaja jersi pemain berkenaan Victor Malaysia, kemudian telah mengeluarkan kenyataan permohonan maaf. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Semasa #JalurGemilang

Related Articles

Leave a Comment

error: Aha??? Nak buat apa tu?