PELABUHAN KLANG, 16 April – Dalam usaha memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi ancaman bawah permukaan, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Japan Maritime Self-Defense Force (JMSDF) melaksanakan latihan bersama menerusi Eksesais Malaysian-Japan (MALPAN) di Port Klang Cruise Terminal, pada 13 dan 14 April lalu.
Latihan dua hala ini menyaksikan penglibatan Tim Penyelam Ranjau TLDM dari Markas Selam dan Peperangan Periuk Api (MSPPA) bersama Tim Selam JS ETAJIMA dari JMSDF, khusus bagi menjalankan Diving Exercise (DIVEX) yang memfokuskan kepada aspek Limpet Mine Countermeasure.
Menurut TLDM, latihan Subject Matter Expert Exchange ini menjadi platform penting bagi kedua-dua pasukan berkongsi kepakaran teknikal serta taktikal dalam teknik pengesanan dan pemusnahan bahan letupan jenis Limpet Mine.
“Limpet Mine merupakan sejenis bahan letupan yang digunakan secara khusus untuk sabotaj kapal oleh penyelam menggunakan teknologi magnet untuk melekat erat pada permukaan,
“Ia dinamakan sempena sejenis moluska yang melekat kukuh pada batuan laut. Berbeza dengan periuk api laut yang bersaiz besar dan diletakkan di dasar lautan, Limpet Mine direka bukan bertujuan untuk menenggelamkan kapal, sebaliknya melumpuhkan keupayaan pengoperasian sesebuah aset maritim,” jelas TLDM.
Latihan ini melibatkan dua fasa utama iaitu Fasa Penyelaman, yang memberi tumpuan kepada pencarian dan pengesanan objek berbahaya, diikuti dengan Fasa Pemusnahan atau Pemandulan bahan letupan tersebut.
Sepanjang latihan, hanya peralatan simulasi digunakan bagi menjamin keselamatan semua peserta, namun elemen praktikal dikekalkan bagi memastikan latihan dijalankan secara realistik dan berkesan.
“Kerjasama bilateral ini menjadi platform penting untuk memperkasa keupayaan teknikal dan taktikal antara TLDM dan JMSDF, khususnya dalam menghadapi potensi ancaman bawah permukaan seperti Limpet Mine,
“Di samping itu, ia juga membuka ruang untuk memahami secara dua hala prosedur operasi yang lebih efektif demi keselamatan maritim serantau,” ujar TLDM lagi. -airtimes.my
#TLDM #Malaysia #Jepun #MALPAN #TimPenyelamRanjau #pertahanan #airtimes