KUALA LUMPUR, 22 April – Mesyuarat Final Planning Conference (FPC) bagi Eksesais Keris Strike Siri 30/2025 menandakan kemuncak perancangan latihan trilateral apabila berjaya dilaksanakan di Ipoh pada 18 April lalu.
Mesyuarat penting yang dipengerusikan Panglima 4 Divisyen, Mejar Jeneral Dato’ Khairul Azmizal Ahmad Natal itu merupakan kesinambungan kepada dua sesi terdahulu iaitu Initial Planning Conference (IPC) dan Middle Planning Conference (MPC), yang telah membuka landasan koordinasi bersama antara negara-negara terlibat.
FPC berfungsi sebagai platform penyelarasan utama yang memperincikan keperluan logistik, pentadbiran serta struktur latihan antara Tentera Darat Malaysia (TDM), United States Army Pacific Command (USARPAC) dan Tentera Darat Australia (TDA), dalam usaha memastikan kelancaran eksesais yang akan datang.
Menurut kenyataan rasmi yang dimuat naik di laman Facebook Markas Divisyen Keempat Infantri Malaysia (4 Div), mesyuarat turut meneliti aspek teknikal pelaksanaan Subject Matter Expert Exchange (SMEE), Staff Exercise (STAFFEX), Cross Training Exercise (CTX), serta komponen kritikal iaitu Latihan Tembakan Artileri Roket.
“Mesyuarat ini turut merangkumi Final Site Survey (FSS) di beberapa lokasi seperti Ipoh, Kuala Kangsar, Gerik, Lumut dan Pulau Pinang bagi memastikan segala persiapan di lapangan berada pada tahap optimum,” menurut kenyataan tersebut.
Turut hadir, Panglima Briged Kedua Infantri Malaysia (2 Bgd), Brigedier Jeneral Mohd Rosli Abu Bakar; Panglima Briged Kesebelas, Brigedier Jeneral Datuk Shahir Hafizul Abd Rahman; Panglima Briged Kedua Belas Infantri, Brigedier Jeneral Muhammad Fauzi Abu Bakar; serta Ketua Staf Markas 4 Divisyen, Kolonel Ahmad Zamil Mohamad Nor.
Sebelum ini, Eksesais Keris Strike 29/2024, yang berlangsung dari 28 Jun hingga 12 Julai 2024 di sekitar Kota Belud, Kudat, dan kawasan sekitarnya, mencatat sejarah sebagai latihan trilateral pertama melibatkan TDM, USARPAC serta TDA.
Latihan tersebut merangkumi pelbagai aktiviti seperti Subject Matter Expert Exchange (SMEE), Cross Training Exercise (CTX), dan Staff Exercise (STAFFEX), serta latihan tembakan artileri roket.
Penglibatan aktif anggota dari ketiga-tiga negara dalam latihan ini telah memperkukuh kerjasama ketenteraan dan meningkatkan keupayaan bersama dalam menghadapi ancaman keselamatan serantau.
Eksesais Keris Strike yang dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat bukan sekadar platform pembangunan keupayaan taktikal dan operasi, malah simbol kukuh komitmen strategik antara TDM, USARPAC dan Tentera Darat Australia dalam mengekalkan kestabilan dan keselamatan serantau.-airtimes.my
#AirTimes #LatihanBersama #KerisStrike2025 #4Divisyen #TDM #USARPAC #AustralianArmy