PUTRAJAYA, 22 APRIL – Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, berkenan menyempurnakan pelancaran buku ‘Helang Samudera: Perisai Maritim Negara, bersempena sambutan ulang tahun ke- 20 tahun Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Putrajaya, hari ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menyifatkan penerbitan naskhah ini sebagai satu penghormatan besar buat wira-wira maritim negara yang selama dua dekad mempertaruhkan keselamatan diri demi kedaulatan perairan negara.
“Buku ini bukan sekadar dokumentasi sejarah, tetapi khazanah bernilai tinggi yang memaparkan keberanian, kecekalan dan dedikasi anggota APMM dalam menangani jenayah rentas sempadan, pencerobohan perairan dan operasi menyelamat berisiko tinggi,” ujar beliau.
Sehubungan itu, penerbitan buku ini turut menyerlahkan kerjasama strategik Maritim Malaysia bersama agensi antarabangsa seperti US Coast Guard, Interpol, Australia Border Force (ABF), dan penguat kuasa maritim serantau dari Indonesia, Thailand dan Filipina.
“Jalinan kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh keselamatan perairan negara, malah menjadi batu asas kepada kestabilan rantau ini secara keseluruhan,” tambahnya.
Beliau berkata lagi, ia juga sebagai usaha memperluas manfaat dan kesedaran awam terhadap peranan Maritim Malaysia dengan mengedarkan ke perpustakaan di seluruh negara, institusi pendidikan dari peringkat sekolah sehingga ke Institut Pengajian Tinggi (IPT).
Susulan, buku setebal 180 halaman muka surat berbentuk coffee table yang diterbitkan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) menampilkan naratif visual berkualiti tinggi, cerita operasi sebenar, serta momen dramatik yang tidak pernah dikongsi kepada khalayak umum.
Selain itu, Saifuddin berkata, sebagai simbol jalinan kerjasama strategik dan perkongsian ilmu dalam bidang keselamatan maritim, buku ini turut diberi kepada agensi sahabat dalam dan luar negara.
“Naskhah ini bukan sahaja menjadi rujukan berharga kepada pengkaji dan pencinta dunia maritim, malah berpotensi menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda untuk memahami kepentingan mempertahankan keselamatan maritim negara,” jelasnya.
Tambahnya, sejarah penubuhan Maritim Malaysi, kejayaan operasi menyelamat, rampasan kapal penyeludup, pelaksanaan operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT), penggunaan teknologi pengawasan canggih serta latihan bersesuaian yang membentuk kecekapan pasukan, antara bab menarik di dalam buku itu.
Turut hadir Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Awang Alik bin Jeman, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah, serta Pengerusi Lembaga Pengelola Yayasan Pembangunan Buku Negara, YBhg. Tan Sri Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar. -airitmes.my
#AirTimes #Maritim #APMM #SultanNazrin #Malaysia