JAKARTA, 21 APRIL – Produk eksport Indonesia berisiko dikenakan cukai tarif sehingga 47 peratus oleh Amerika Syarikat (AS), sepanjang tempoh penangguhan pelaksaan tarif baharu selama 90 hari .
Jumlah keseluruhan tarif ini meletakkan Indonesia sebagai negara yang menerima beban tarif tertinggi dalam kalangan negara Asia Tenggara.
Perkara itu didedahkan oleh Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto, yang mengetuai rundingan bersama kerajaan AS berhubung dasar tarif tinggi terhadap barangan dari Indonesia.
Menurut Airlangga, walaupun tarif utama sebanyak 32 peratus telah diberikan pengurangan sementara kepada 10 peratus selama tiga bulan, beberapa sektor tertentu masih kekal berkuat kuasa dengan kadar antara 10 hingga 37 peratus.
Antara sektor yang kekal dikenakan tarif perlindungan tinggi termasuklah sektor seperti tekstil dan pakaian
“Sebagai contoh, dalam sektor tekstil dan pakaian, tarif perlindungan sedia ada adalah antara 10 hingga 37 peratus,
“Jadi, tambahan 10 peratus yang dikenakan semasa rundingan ini boleh menjadi 10+10 atau 37+10,” katanya pada Jumaat, lapor media antarabangsa.
Airlangga menegaskan, pengenaan tarif yang bertindan sedemikian bukan sahaja menjadikan kos eksport Indonesia semakin tinggi, malah akan membebankan pelbagai pihak dalam rantaian bekalan.
“Kos ini akhirnya akan ditanggung oleh pembeli dan juga Indonesia sebagai pengeksport. Ini amat membimbangkan kami,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyuarakan ketidakpuasan terhadap pendekatan tarif yang dianggap tidak adil, memandangkan negara pesaing di ASEAN seperti Malaysia hanya dikenakan tarif sekitar 24 peratus.
Lebih daripada itu, Malaysia turut diberikan pengecualian dalam beberapa sektor penting, termasuk minyak sawit, produk getah, elektronik serta peralatan elektrik dalam pasaran AS.
“Banyak negara lain menikmati kadar tarif yang lebih rendah. Kami menuntut keadilan, kami mahu tarif yang adil dan tidak lebih tinggi daripada pesaing serantau,” luah beliau. -airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Tarif #Indonesia #AS #Global