if ( function_exists( 'wp_body_open' ) ) { wp_body_open(); } else { do_action( 'wp_body_open' ); } ?>
Home Semasa Liabiliti RM300 juta, syarikat bumiputera diketepikan? – Muhyiddin pertikai ketelusan kerajaan

Liabiliti RM300 juta, syarikat bumiputera diketepikan? – Muhyiddin pertikai ketelusan kerajaan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 21 Apr – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengkritik keras tindakan kerajaan menggunakan kuasa secara paksaan dalam rampasan tapak Menara Kuala Lumpur (Menara KL) baru-baru ini, menyifatkannya sebagai bukti kuasa kerajaan disalahguna tanpa menghiraukan proses undang-undang.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, tindakan mengusir pengendali sedia ada secara paksa melalui campur tangan agensi keselamatan negara walaupun pertikaian masih dalam pengadilan mahkamah, adalah satu pencabulan kepada prinsip negara hukum.

“Kementerian Komunikasi terpaksa menggunakan polis dan agensi lain untuk membuat pengusiran secara paksa hanya untuk memberikan tapak Menara KL kepada syarikat konsesi baharu memberikan persepsi yang buruk terhadap kerajaan,

“Justeru saya menggesa kerajaan supaya telus dan menyatakan perkara sebenar berhubung isu peralihan konsesi Menara KL, dan tidak seharusnya dilihat hanya mempertahankan satu pihak semata-mata,” katanya dalam satu hantaran pada Ahad.

Pada 17 April lalu, Pesuruhjaya Tanah Persekutuan mengusir MKLSB dan Hydroshoppe dari Menara Kuala Lumpur.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, kedua-dua syarikat itu menduduki bangunan tersebut secara tidak sah selepas pengurusan menara itu dipindahkan kepada LSH Service Master pada 1 April.

Mengulas lanjut, Muhyiddin turut mempersoalkan motif di sebalik penamatan konsesi syarikat Bumiputera yang telah lama mengurus Menara KL dengan baik, namun kini terpaksa menanggung liabiliti lebih RM300 juta.

“Adalah tidak wajar bagi kerajaan untuk tidak mempertimbangkan sebuah syarikat Bumiputera yang telah mengurus Menara KL selama bertahun-tahun dengan rekod yang baik,

“Pada masa yang sama syarikat tersebut telah dilayan secara tidak adil kerana terpaksa menanggung liabiliti berjumlah lebih RM300 juta,” tegasnya lagi.

Beliau menegaskan bahawa penggunaan kuasa kerajaan tanpa semak dan imbang (check and balance) boleh menghancurkan keyakinan rakyat terhadap keadilan dan kestabilan pentadbiran negara.

“Hukum rimba tidak boleh jadi norma. Kita tidak boleh biarkan kuasa kerajaan bertindak sewenang-wenangnya, apatah lagi dalam isu aset strategik seperti Menara KL,” tegasnya.

Dalam masa sama, Muhyiddin menggesa kerajaan tampil menjelaskan perkara sebenar di sebalik peralihan konsesi tersebut dan berhenti memberi gambaran seolah-olah melindungi kepentingan pihak tertentu sahaja.-airtimes.my

#menaraKL #Malaysia #Muhyiddin #Anwar #airtimes #semasa

 

Related Articles

Leave a Reply