KUALA LUMPUR, 12 FEB – Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui, menggesa kerajaan untuk menarik balik pelaksanaan pr Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0.
Beliau menyifatkan program tersebut dilaksanakan sebagai satu bentuk paksaan yang mencabuli hak kebebasan belia dalam menentukan masa depan mereka sendiri.
Dalam perbahasan Titah Menjunjung Kasih Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini, Chow berkata, perubahan dasar PLKN daripada program sukarela kepada mandatori adalah satu langkah ke belakang yang membebankan golongan muda.
“Saya mengulangi pendirian yang membantah PLKN 3.0, terutamanya individu sekarang telah ditukar daripada sukarela ke mandatori. Iaitu sekiranya anda dipilih, anda diwajibkan hadir.
“Keputusan ini bukan sahaja bertentangan dengan janji asal bahawa program ini bersifat sukarela. Tetapi juga merupakan satu bentuk pencabulan terhadap kebebasan individu serta hak belia untuk menentukan masa depan mereka,” ujarnya.
Tegasnya, keputusan ini bukan sahaja mengganggu kehidupan peribadi mereka, malah berisiko merosakkan masa depan ekonomi golongan belia.
“PLKN 3.0 menyasarkan belia berusia 16 hingga 35 tahun, satu kumpulan yang berada dalam fasa penting kehidupan mereka sama ada dalam meneruskan pengajian atau bekerja untuk menyara diri dan keluarga.
“Walaupun kerajaan menyatakan keutamaan akan diberikan kepada belia yang tidak meneruskan pengajian, hakikatnya kebanyakan mereka sudah memasuki alam pekerjaan demi kelangsungan hidup.
“Sekiranya mereka terpaksa menyertai program ini, bukan sahaja pendapatan mereka akan terjejas malah mereka akan berisiko kehilangan pekerjaan,”tambahnya lagi.
Dalam pada itu, Chow turut mempertikai keupayaan PLKN dalam memupuk semangat patriotisme dalam tempoh 45 hari latihan ketenteraan memandangkan sejarah telah membuktikan bahawa PLKN 1.0 dan 2.0 tidak memberi kesan jangka panjang kepada peserta.
Katanya, Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia sebelum ini turut mencadangkan supaya kerajaan tidak meneruskan pelaksanaan PLKN 3.0 kerana matlamatnya yang tidak jelas.
“Dalam kenyataan JKPK, ia menyatakan kajian-kajian mendapati bahawa PLKN 1.0 dan 2.0 tidak meninggalkan kesan positif jangka panjang di kalangan calon-calon. Dengan kata lain, ia kurang berkesan. Dan PLKN 1.0, 2.0 dan 3.0 juga melibatkan kos pelaksanaan yang amat tinggi, berbanding kesan positif yang tidak seberapa.
“Jika benar kerajaan mahu menanamkan semangat patriotisme, ia harus bermula dengan dasar yang adil, pentadbiran yang cekap serta memastikan kesejahteraan rakyat tanpa mengira latar belakang,” luahnya pada Khamis.
Chow yakin dan percaya, tindakan memaksa belia menyertai program ini hanya akan membangkitkan kemarahan dan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan.
Sehubungan itu, Chow mendesak kerajaan untuk menarik balik dasar paksaan ini dan menghormati hak belia untuk memilih sama ada ingin menyertai PLKN atau tidak. -airtimes.my
#PLKN #Kerajaan #Belia #Airtimes #Malaysia