MANILA, 12 FEB – Amerika Syarikat (AS) dan Filipina mahu mempertingkatkan kerjasama pertahanan di antara kedua-dua negara, termasuk latihan ketenteraan bersama.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Ketua Staf Tentera AS, Jeneral CQ Brown Jr bersama rakan sejawatannya dari Filipina, Jeneral Romeo Brawner Jr melalui satu panggilan telefon.
“Jeneral Brown dan Brawner telah membincangkan inisiatif modenisasi ketenteraaan dan hal-hal berkaitan Perjanjian Kerjasama Pertahanan yang Dipertingkatkan (Enhanced Defense Cooperation Agreement – EDCA),
“Selain itu, kedua-dua panglima turut membincangkan peningkatan skop dan kapasiti latihan bersama di Filipina,” kata Pejabat Ketua Staf Tentera Amerika Syarikat dalam satu kenyataan.
Menurutnya, kedua-dua pemimpin tinggi tentera telah berbincang pada 10 Februari lalu.
Pada masa yang sama, Brown turut menegaskan kepentingan terhadap kesedaran domain di Zon Ekonomi Eksklusif Filipina.
Filipina merupakan antara negara Asia yang mempunyai hubungan strategik berstatus sekutu bukan dalam NATO dengan AS.
Kedua-dua negara mempunyai pelbagai kerjasama pertahanan dan juga latihan bersama.
Ini termasuk Latihan Bersama Balikatan yang diadakan secara tahunan di Filipina. – airtimes.my
#AirTimes #Global #Filipina #AS