KUALA LUMPUR, 12 FEB – Ahli Parlimen Raub (DAP), Chow Yu Hui mencadangkan agar portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua iaitu khusus untuk Islam dan bukan Islam.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan keadilan dalam pengurusan agama serta memperkukuh perpaduan rakyat pelbagai kaum di Malaysia.
“Saya mencadangkan agar portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua iaitu satu khusus urusan agama Islam dan hal ehwal bukan Islam.
“Menteri hal ehwal bukan Islam ini boleh dilantik dalam kalangan pemimpin yang dihormati dalam kalangan bukan Muslim,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Exco khusus bagi menjaga kepentingan rakyat bukan Islam juga turut ditubuhkan di beberapa negeri seperti Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perak.
Tegas Chow, dua menteri agama di bawah Jabatan Perdana Menteri itu boleh membincangkan isu berkaitan secara lebih berkesan serta mengelakkan sebarang kontroversi yang tidak diingini.
“Pemisahan portfolio menteri ini akan membolehkan kedua-dua pihak berbincang secara lebih mendalam dan mengelakkan kontroversi yang tidak perlu. Ia juga akan membantu membentuk Malaysia yang lebih inklusif, majmuk dan harmoni,” tambahnya.
Cadangan ini hadir selepas kontroversi garis panduan kepada umat Islam yang menghadiri perayaan bukan Islam mencetuskan pelbagai reaksi termasuk dalam kalangan pemimpin.
Susulan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Kabinet telah memutuskan, garis panduan yang dicadangkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu tidak perlu diteruskan.
#AhliParlimenRaub #AgamaIslam #Malaysia #Airtimes #Menteri