SEVILLE, 20 JAN 2025 – Tentera Udara Indonesia (TNI-AU) dijangka menerima pesawat pengangkut pelbagai fungsi Airbus A400M pertama mereka menjelang akhir tahun 2025.
Pesawat ini bakal memperkukuh keupayaan strategik dan operasi TNI-AU dalam pelbagai misi kritikal di peringkat domestik dan antarabangsa.
Menurut Airbus Defence pada Isnin, pesawat berkenaan kini memasuki fasa pemasangan akhir (Final Assembly Line, FAL) dalam pembinaannya di Seville, Sepanyol.
Mengulas lanjut, pesawat dengan nombor pengeluaran MSN148 akan dipasang Horizontal Tail Plane (HTP) dengan Vertical Tail Plane (VTP) serta penyepadanan sayap ke badan pesawat.
Selepas itu, pesawat akan melalui proses pemasangan loji kuasa dan perisian termasuk beberapa siri ujian kefungsian yang penting sebelum pengaktifan enjin pertama.

Pesawat A400M pertama untuk Indonesia dijangka akan selesai menjelang akhir tahun 2025 manakala pesawat kedua dijangka menyusul tidak lama selepas itu (Foto: Airbus Defence)
Dalam pada itu, pesawat Airbus A400M mempunyai kapasiti yang luar biasa untuk membawa pelbagai jenis kargo, termasuk peralatan berat dan kenderaan.
Mempunyai kapasiti maksimum 37 tan metrik dan kebolehan untuk beroperasi di pelbagai jenis lapangan terbang, termasuk kawasan terpencil dengan infrastruktur terhad, A400M sangat sesuai untuk operasi di negara kepulauan seperti Indonesia.
Perolehan ini, dijangka akan menyokong pelbagai operasi penting, termasuk bantuan kemanusiaan, pemindahan perubatan serta pengisian bahan api udara yang kritikal.
Untuk rekod, Kementerian Pertahanan Indonesia telah menempah dua unit Airbus A400M pada tahun 2021.
Menurut pihak Airbus, pengiriman pesawat pertama dijangka akan selesai menjelang akhir tahun 2025, dengan pesawat kedua dijangka menyusul tidak lama selepas itu. -airtimes.my
#PertahananDanKeselamatan #A400M #Indonesia #AirTimes