IPOH, 20 Jan – Kerjasama Malaysia dan Perancis dalam bidang maritim terus diperkukuh menerusi Eksesais LA PEROUSE 2025 yang merupakan latihan ketenteraan bilateral melibatkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Laut Perancis (TLP).
Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat (MPA Barat) memaklumkan, eksesais yang berkonsep Field Training Exercise (FTX) ini mengambil peluang kehadiran kapal TLP ke perairan Selat Melaka untuk mempromosikan kerjasama Indo-Pasifik bersama negara-negara ASEAN dengan fokus kepada keselamatan maritim di rantau ini.
Menurut MPA Barat, eksesais itu juga memberi fokus kepada keselamatan maritim di rantau berkenaan.
“Eksesais ini bertujuan meningkatkan keterlibatan maritim antara TLDM dan TLP di laut, menangani cabaran maritim bersama demi keselamatan maritim serantau serta memperkukuh hubungan kerjasama,” jelas MPA Barat.
Antara aset-aset yang terlibat dalam eksesais ini ialah KD LEKIR, KD GAGAH SAMUDERA, Fast Combat Boat TLDM danri TLDM dan 2 pesawat pejuang F/A 18D dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Manakala, TLP telah mengaturgerakkan FS FORBIN dan pesawat AS565 Panther untuk latihan kali ini.
MPA Barat turut menjelaskan, eksesais berkenaan dibahagikan kepada 2 fasa iaitu Fasa Pelabuhan yang bermula dari 13 hingga 15 Jan 2025 yang merangkumi perbincangan operasi, lawatan kapal, interaksi sukan dan majlis resepsi rasmi.
Fasa kedua pula ialah Fasa Laut yang bermula 16 hingga 18 Jan di perairan Selat Melaka, melibatkan latihan peperangan permukaan dan udara serta Photo Exercise (PHOTEX).
“Latihan ini bukan sahaja mempertingkatkan keupayaan taktikal kedua-dua negara, tetapi juga memperkukuhkan kesiapsiagaan aset dan kompetensi anggota TLDM dalam menghadapi senario maritim yang kompleks,” ujar kenyataan itu lagi.
Eksesais LA PEROUSE 2025 ialah kerjasama bilateral pertama melibatkan aset TLDM dan TLP selepas kali terakhir dijalankan pada 2021 melalui Passage Exercise (PASSEX) di Selat Melaka.
“Selain itu, pelaksanaan Eksesais LA PEROUSE 2025 di Pulau Pinang juga menjadi platform persediaan penting bagi TLDM yang dijadual menganjurkan ‘ASEAN Navy Chief’s Meeting (ANCM)’, ‘ASEAN Multilateral Naval Exercise (AMNEX)’ dan ‘ASEAN Fleet Review’ di negeri ini pada Ogos,” tambah MPA Barat lagi.-airtimes.my
#TLDM #airtimes #Malaysia #Perancis #TLP #pertahanan