Home Pertahanan dan KeselamatanMalaysia jemput Indonesia sertai LIMA 2025: Tumpuan perkukuh kerjasama pertahanan

Malaysia jemput Indonesia sertai LIMA 2025: Tumpuan perkukuh kerjasama pertahanan

by Nurulhuda
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 20 Jan – Malaysia secara rasmi menjemput Indonesia untuk menyertai Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025 sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kerjasama pertahanan di peringkat serantau dan antarabangsa.

Jemputan tersebut dizahirkan oleh Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, kepada Menteri Pertahanan Republik Indonesia, TYT Sjafrie Sjamsoeddin, dalam sesi kunjungan hormat di Wisma Pertahanan, hari ini.

Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam kenyataan memaklumkan, penyertaan Indonesia dalam LIMA 2025 akan menjadi satu lagi langkah penting dalam mengukuhkan hubungan dua hala melalui pelbagai inisiatif strategik pertahanan yang melibatkan kedua-dua negara.

“Menteri Pertahanan turut menzahirkan jemputan rasmi kepada Indonesia untuk menyertai LIMA 2025, sekali gus mengulangi dedikasi kedua-dua negara untuk memperkukuh hubungan pertahanan melalui pelaksanaan inisiatif di peringkat dua hala dan pelbagai hala,” jelas MINDEF.

Menurut MINDEF, selain membincangkan mengenai jemputan tersebut, kedua-dua pemimpin turut bertukar pandangan berkaitan cabaran keselamatan serantau.

“Ia termasuk isu-isu strategik seperti Kepengerusian ASEAN 2025 dan pelaksanaan Jawatankuasa Sempadan Am Malaysia-Indonesia Ke-44 (GBC MALINDO Ke-44) yang dijadualkan berlangsung di Malaysia dalam tahun ini bagi menangani cabaran keselamatan serantau secara kolektif,” tambah kenyataan itu.

Terdahulu, TYT Sjafrie Sjamsoeddin turut disambut dengan Pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama (KKU) oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat), diketuai oleh Mejar Muhammad Akmal Hakim Sabarudin.

“Kunjungan hormat ini merupakan bukti komitmen yang tidak berbelah bahagi antara kedua-dua negara dalam memupuk kerjasama kukuh demi keamanan dan kestabilan serantau,

“Pertemuan ini juga mencerminkan hubungan erat yang telah terjalin antara Malaysia dan Indonesia melalui hubungan diplomatik serta kerjasama pertahanan kedua-dua negara,” jelas MINDEF lagi.

Mohamed Khaled juga mengucapkan tahniah kepada TYT Sjafrie atas pelantikannya sebagai Menteri Pertahanan Indonesia dan menyatakan keyakinan terhadap kemajuan dan kestabilan Indonesia di bawah kepimpinan Presiden Prabowo Subianto.-airtimes.my

#pertahanan #Mindef #Malaysia #Indonesia #airtimes

 

 

Related Articles

Leave a Reply