PUTRAJAYA, 20 JAN– Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution memberi jaminan perairan negara sentiasa dikawal rapi oleh Kerajaan.
Beliau berkata, Pasukan penguat kuasa terutama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sentiasa siap siaga bagi mengekang pencerobohan di kawasan perairan negara.
Berikutan, peningkatan cubaan kemasukan pelarian Rohingya dari Myanmar kebelakangan ini.
“Hampir setiap hari bot yang membawa pelarian dari negara berkenaan dikesan berada di perairan antarabangsa dan cuba menceroboh perairan Malaysia, tetapi berjaya dihalang oleh pasukan keselamatan,” kata Saifuddin Nasution.
Tambahnya, isu yang melanda negara asal mereka serta faktor tarikan Malaysia yang aman dan stabil dari segi ekonomi antara penyebab kemasukan pelarian dari negara Myanmar itu.
“Mengenai faktor penolak ini, seperti yang kita sedia maklum di peringkat ASEAN, memang isu Myanmar ini kita bincangkan,” katanya dalam sidang media selepas meninjau persiapan Asia International Security Summit and Expo di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di Putrajaya hari ini.
Menurutnya lagi, berkenaan 200 pelarian dari Myanmar yang menaiki sebuah bot dan mendarat di pantai Teluk Yu berhampiran Ayer Hangat, Langkawi pada awal pagi Jumaat lepas, kesemuanya telah diprofilkan dan ditempatkan di depot imigresen.
Beliau turut menjelaskan, perkara berkenaan dilakukan atas dasar kemanusiaan.
Mengulas mengenai arahan anggota polis perlu memenuhi syarat indeks jisim badan (BMI) kurang daripada 28 untuk kenaikan pangkat, Saifuddin Nasution menyatakan ia sebahagian proses pengesahan kenaikan pangkat selain sebagai lambang disiplin pasukan berkenaan. -airtimes.my
#AirTimes #APMM #Rohingya #Myanmar #Malaysia