Home PolitikPakatan Harapan Politik kotor PAS: DAP nafi penglibatan dalam isu addendum Najib

Politik kotor PAS: DAP nafi penglibatan dalam isu addendum Najib

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 7 Jan – Parti Demokratik Malaysia (DAP) mengecam tindakan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang didakwa cuba mengaitkan DAP dengan isu addendum melibatkan kes Datuk Seri Najib Razak.

Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook menyifatkan langkah tersebut sebagai taktik politik kotor untuk menyerang DAP dan menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Loke, tuduhan yang mengaitkan pemimpin DAP dalam urusan pengampunan Najib adalah tidak berasas sama sekali.

Beliau menjelaskan bahawa isu tersebut adalah di bawah bidang kuasa Lembaga Pengampunan, yang tidak melibatkan Jemaah Menteri atau wakil dari DAP.

“Pemimpin DAP, terutamanya anggota Kabinet dari DAP langsung tidak terlibat dalam isu addendum tersebut kerana isu pengampunan adalah urusan Lembaga Pengampunan yang tidak melibatkan Jemaah Menteri,

“Dalam Lembaga Pengampunan pula, tidak ada seorang pun Ahli Lembaga yang terdiri dari wakil DAP dan ia menerima nasihat daripada Peguam Negara kepada Yang Dipertuan Agong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Presiden PAS menyifatkan peristiwa kehakiman yang ‘memangsakan’ mantan Perdana Menteri itu berkaitan titah adendum mendedahkan wajah sebenar kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang didominasi DAP.

Tegasnya, apa yang berlaku ini meneruskan pendekatan pada zaman penjajah dahulu.

“Raja-raja dipenjarakan dalam sistem penjajah, dalam keadaan tidak berdaulat sepenuhnya (tidak berkuasa sepenuhnya) dalam urusan pemerintahan negara, apabila agama Islam dilucutkan kuasanya,

“Raja hanya digunakan menjadi topeng apabila rakyat menentang penjajah. Maka, raja-raja difitnah oleh penjajah lalu menuduh rakyat pula derhaka terhadap raja-raja,” ujarnya dalam Minda Presiden PAS, hari ini.

Sehubungan itu, Loke turut menuduh PAS cuba menjadikan isu ini sebagai alat untuk melemahkan pentadbiran Perdana Menteri serta memecahbelahkan Kerajaan Perpaduan.

“Tindakan keji ini merupakan mainan politik ulangan PAS yang hanya pandai menyalahkan DAP dalam apa sahaja isu dengan slogan ‘Semua Salah DAP’,

“Pemimpin PAS kini amat gila kuasa dan gelojoh untuk menggunakan segala cara untuk mencapai cita-cita politik mereka untuk merampas kuasa di Putrajaya,” ujarnya lagi.

Dalam masa yang sama, Loke trutu menyeru rakyat Malaysia agar menolak sekeras-kerasnya politik berbentuk fitnah dan adu domba yang didakwanya sering dimainkan PAS.

“DAP akan terus mendokong Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan yakin dengan keikhlasan semua gabungan dalam kerajaan untuk menolak cubaan PAS menggangu-gugat kestabilan negara,” ujarnya lagi.

Semalam, Najib berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau 6 pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.

Panel 3 hakim dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dengan majoriti 2-1, membenarkan rayuan Najib, 72 untuk mendapatkan kebenaran itu.

Keputusan majoriti dicapai oleh Azhahari dan Mohd Firuz sementara Azizah menentang keputusan terbabit.-airtimes.my

#semasa #airtimes #Najib #DAP #PAS #pengampunan

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?