PETALING JAYA, 7 Ogos – Memasuki minggu kedua kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) melibatkan 6 negeri, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihati kepada semua ahli politik agar berkhidmat dengan tulus dan jujur tanpa dipalit isu rasuah.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, urusan tatakelola negara dan membanteras rasuah akan menjadi keutamaan selagi Kerajaan Perpaduan diberi mandat untuk memerintah.
“Jadi saya bagi ingatan, selagi saya ada mandat dan saya masih ada sokongan, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang bertanding di Selangor, semua calon (diberi) dengan peringatan yang sama,
“Pegang jawatan, pegang amanah, kalau sia-siakan amanah, gunakan kuasa yang ada untuk rompak kekayaan rakyat, saya akan terajang dia masuk lokap dan masuk penjara,
“Bilik saya di Sungai Buloh masih kosong,” katanya dengan tegas ketika menyampaikan ucapan di Ceramah Mega Perdana, malam tadi.
Anwar menjelaskan, keinginan untuk melihat kesenangan dan kemakmuran rakyat menjadi keutamaan dalam kepimpinan Kerajaan Perpaduan serta ia tidak pernah luntur meskipun perjalanan politik beliau tidak seindah diharapkan.
“Saya sendiri hidupnya derita dan susah, Datin Seri Wan Azizah dan anak-anak susah, kawan-kawan saya pun susah,
“Tetapi kau pukullah aku setengah mati, aku maafkan. Kamu heret aku, campak ke penjara aku maafkan. Kamu aibkan aku, hina aku, jijikkan aku setiap hari aku maafkan,
“Tapi bila kamu curi harta rakyat, aku cari kamu sampai dapat supaya kamu masuk penjara,” tegasnya lagi.
Dalam masa yang sama, Pengerusi PH itu melahirkan keyakinan bahawa Selangor akan terus kekal sebagai aset Kerajaan Perpaduan, walaupun berdepan tentangan sengit pembangkang.
Jelasnya, Perikatan Nasional (PN) ini sedang giat berusaha untuk merampas Selangor dari Kerajaan Perpaduan.
“Kuasa itu memukau. Tanyalah kawan-kawan kita yang dulu laungkan reformasi, kuasa rakyat, tetapi bila dah ada kuasa, sakau, lupa janji, lupa orang yang sokong dia siapa,
“Saya yakin, Selangor akan kekal menjadi kubu Kerajaan Perpaduan. Berdasarkan rekod kerja kita, saya perlu kekuatan Selangor dan mereka (PN) betul-betul usaha nak rampas Selangor,
“Kerana apa? Kerana Selangor banyak duit, kaya, dapatan kontrak dan keuntungan. Jangan bagi peluang kepada penyakau-penyakau rampas negeri ini,” tegasnya. -airtimes.my