KUALA LUMPUR, 20 Mac – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang diingatkan tentang keberkatan pendapatan susulan tindakannya yang hanya ‘sibuk beraksi dengan berpidato’ sehingga lupa untuk hadir ke sidang Parlimen.
Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR Amidi Abdul Manan menjelaskan, agama Islam menitikberatkan soal kesucian dan keberkatan pendapatan.
“Jika wakil Marang (Abdul Hadi) hanya sibuk beraksi dengan berpidato di merata tempat tapi tidak ke sidang Parlimen, maka itu adalah satu perkara yang bertentangan dengan agama,
“Pimpinan PKR hanya mahukan keikhlasan dan kesungguhan wakil rakyat Marang dan beberapa Ahli Parlimen dari PN untuk hadir ke sidang Parlimen,
“Maka apa alasan untuk kita mengambil pendapatan sedangkan kita tidak melaksanakan tugasan yang diwajibkan ke atas kita,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Amidi menjelaskan, Parlimen merupakan tempat bagi semak dan imbang kerana dari situlah punca peraturan serta undang-undang digubal.
“Jika Marang rajin ke Parlimen, maka Rang Undang-undang (RUU) 355 sudah tentu telah dibahas dan diluluskan dengan restu MCA, MIC dan GPS,
“Bukan setakat RUU 355 tidak tertunai, tetapi juga wakil Marang terlepas pahala jihad yang besar jika beliau menganggap PM kesepuluh seorang yang zalim,” ujarnya.
Amidi berkata demikian bagi mengulas kenyataan Abdul Hadi dalam Minda Presiden yang bertajuk ‘PKR lawan al-Quran’.
Dalam kenyataannya, Abdul Hadi mempertahankan PAS yang dituduh mempolitikkan agama sambil menegaskan bahawa parti itu yang berlandaskan al-Quran, hadis, ijmak dan qiyas.
Selain itu Hadi turut menggesa PKR kembali kepada al-Quran dan mendapatkan petunjuk Allah susulan kenyataan yang dibuat Setiausaha Agungnya Saifuddin Nasution Ismail bahawa ahli parti itu sepatutnya bersikap ‘menyerang’ terhadap kenyataan ahli politik yang berkeras untuk mempolitikkan agama.
Mengulas lanjut, Amidi yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR berkata, tindakan Abdul Hadi menuduh PKR mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang bertentangan dengan Islam ‘agak melucukan’ sedangkan tindakan sama turut dibuat oleh kerajaan Periktan Nasional (PN) sebelum ini.
“Wakil Marang terlupa lafaz ikrar yang dibaca ketika kali pertama bersidang bagi setiap sesi iaitu setiap wakil rakyat perlu mempertahankan Perlembagaan Persekutuan pada setiap masa dan ketika,
“Maka ludahan ke langit akan hinggap di muka sendiri. Sistem pemerintahan di Malaysia semuanya berdiri di atas perlembagaan ini,
“Maka saya cabar untuk wakil Marang membuat kenyataan secara jelas menentang Perlembagaan Persekutuan,” tegasnya lagi.-airtimes.my