Home PolitikPakatan Harapan Anwar hanya diberikan gaji simbolik RM1 setahun – Juwairiya

Anwar hanya diberikan gaji simbolik RM1 setahun – Juwairiya

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 7 Dis – Dakwaan Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima RM15 juta semasa menjadi Penasihat Ekonomi Selangor disifatkan sekadar pengulangan fitnah dan hanya mengaburi fikiran rakyat.

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Juwairiya Zulkifli berkata, perkara yang dinyatakan Presiden Perikatan Nasional (PN) itu semasa kempen Pilihan Raya Umum (PRU) Padang Serai, adalah pengulangan fitnah yang pernah dinafikan sebelum ini.

“Perkara itu telah dinafikan berulang kali termasuk dalam jawapan rasmi Menteri Besar ketika itu Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor,” jelasnya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, semasa tempoh Anwar menjadi Penasihat Ekonomi Selangor, beliau hanya diberikan gaji simbolik RM1 setahun.

“Gaji tersebut tidak dibayar kepada beliau sejak tarikh lantikan, malah beliau tidak menerima sebarang bayaran elaun atau keistimewaan selain gaji RM1 tersebut,

“Perkara ini telah jelas tertera dalam Hansard Dewan Negeri Selangor menerusi jawapan kepada soalan oleh Ahli Dewan Negeri,”ujarnya lagi.

Juwairiya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati menjelaskan, tindakan Muhyiddin mengitar dakwaan tidak berasas itu menunjukkan PN kini muflis modal dan terdesak berkempen, selepas gagal membentuk Kerajaan Persekutuan.

“Tindakan menabur fitnah serta dakwaan palsu bagi mengaburi fikiran rakyat ini sangat tidak bertanggungjawab dan jelas terkeluar dari nadi politik Melayu-Islam yang selalu mereka dendangkan,

“Saya yakin pengundi Padang Serai wajar menolak PN dalam pilihan raya hari ini kerana masih mahu menagih undi dengan fitnah dan rekaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau percaya Perdana Menteri wajar mengambil tindakan selanjutnya bagi menghalang pengulangan fitnah ini terus dijaja oleh mereka yang bankrap akhlak dan etika dalam berpolitik. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply