KUALA LUMPUR, 9 Mei – Orang Melayu telah dipermain-mainkan dan ditipu secara terang-terangan dalam kejahilan serta kelalaian mereka.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, mangsa-mangsa kejahilan itu telah tersalah langkah politik selain menghadapi masalah rasuah, keruntuhan moral dan lain-lain termasuk perpecahan dalam hal cabang agama, fahaman politik, perebutan pangkat serta harta.
Sehubungan itu, beliau sekali lagi mengajak orang Melayu menyertai perpaduan yang diusahakannya agar bangsa berkenaan dapat diselamatkan, sekali gus mencontohi langkah yang didakwanya dilakukan Nabi Muhammad SAW dulu.
“Peranan kaum Melayu bersama Islam sehingga tidak berpisah antara Melayu dengan Islam, menjadi suatu konsep masyarakat Melayu yang mudah menerima Islam,
“Pada masa yang sama, menjadikan Melayu tidak rasis seperti yang telah disalah anggap, sehingga membenarkan kaum lain dan penganut agama lain hidup bersama walaupun diatur oleh penjajah terdahulu,
“Kaum Melayu dipermain-mainkan dan ditipu secara terang-terangan dalam kejahilan serta kelalaian mereka,” katanya dalam hantaran di media sosialnya, pada Selasa.
Abdul Hadi turut menegaskan orang Melayu tidak boleh membiarkan kuasa politik yang masih ada terlepas kerana jahil dan leka.
“Jangan biarkan kuasa politik yang masih ada ini terlucut kerana jahil dan leka, kerana kuasa politik memayungi segala perkara yang lain,
“Selamatkan keadaan hari ini dengan perpaduan bangsa Melayu Islam, sepertimana Rasulullah SAW memulakan dengan perpaduan bangsa Arab,” tambahnya lagi.
Ahli Parlimen Marang itu juga menegaskan bahawa mereka menyokong Proklamasi Orang Melayu yang dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, usaha Tun Mahathir dengan mempertemukan pemimpin politik, ilmuwan dan pertubuhan bukan kerajaan penting dalam memperkasa bangsa itu kembali.
“Ketepikan mereka yang tenggelam dalam mengejar apa sahaja cita-citanya, sehingga matlamat menghalalkan segala cara dan menyerang tokoh-tokoh Melayu secara peribadi yang berjaya dalam politik, ekonomi, akademik dengan berbagai-bagai ungkit-mengungkit dan sindiran,
“Pada masa yang sama, mereka itu bersekongkol dengan kalangan yang nyata bukan Islam dan bukan Melayu yang paling besar dan banyak penyakaunya, paling ramai yang kaya-raya menjadi penyumbang dan penerima rasuah,” jelasnya lagi.
Tegasnya, turut bersama dalam golongan bersekongkol adalah dari mereka yang berada dalam kalangan ekstrem terhadap orang Melayu dan Islam serta pengamal media.
“Golongan dari kalangan yang ekstrem politiknya terhadap Islam dan Melayu, kalangan media yang membawa suara syaitan yang menggoda orang Melayu dan kalangan ilmuwan yang otaknya diletak ke dalam perut,
“Mereka melompat laksana kera yang bergayut di mana pokok yang lebat buahnya termasuk buah beracun dan memabukkan,” ujarnya lagi.- airtimes.my