KUALA LUMPUR, 10 Mei – Kapal Diraja (KD) LEKIU terus memainkan peranan penting dalam mendukung Tonggak Ke-3 Strategi Pertahanan Negara iaitu Perkongsian Berwibawa melalui aktiviti diplomasi pertahanan dengan menyertai Latihan Maritim ASEAN-India (ASEAN-India Maritime Exercise, AIME) 2023.
Pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memaklumkan, eksesais ini selari dengan objektif AIME iaitu kerjasama pertahanan dan kebolehoperasian bersama angkatan laut negara ASEAN dan India dalam menangani ancaman maritim di rantau ini.
Ia telah dimanifestasikan oleh KD LEKIU melalui pelaksanaan operasi maritim pelbagai dimensi dengan mempraktikkan Code for Unplanned Encounters at Sea (CUES).
Menurut TLDM, eksesais ini juga turut menjadi medan untuk warganya berinteraksi dan mengemaskini pengetahuan bersama peserta negara sahabat selain berperanan dalam meningkatkan kompetensi warga melalui pelaksanaan Field Training Exercise yang berkonsepkan Maritime Security.
Jelas kenyataan itu lagi, penglibatan KD LEKIU ini mampu mengukuhkan peranan TLDM sebagai duta kecil negara yang mempromosikan diplomasi pertahanan di samping mengerat dan memperkukuhkan kerjasama serantau.
“TLDM sebagai rakan berwibawa di rantau ini terus diiktiraf meskipun dibelenggu dengan isu-isu keusangan aset yang berpanjangan,
“Sewajarnyalah, peningkatan keupayaan aset TLDM disegerakan agar setanding, jika tidak lebih baik, dengan angkatan laut sahabat bagi memastikan kita kekal releven di persada antarabangsa dan serantau,” tambah kenyataan itu.
Mengulas lanjut, TLDM menjelaskan, AIME 2023 yang dianjurkan secara bersama oleh Tentera Laut Republik Singapura (TLRS) dan Tentera Laut India (TLI) di Changi Naval Base (CNB), Singapura serta perairan Laut China Selatan ini telah diadakan pada 2 Mei hingga semalam.
Eksesais multilateral yang julung kali dianjurkan ini adalah hasil kesepakatan dari ASEAN Defence Minister’s Meeting (ADMM) Ke-16 di Phnom Penh, Kemboja pada 22 Jun tahun lepas.
Eksesais kali ini turut diadakan seiring dengan penganjuran International Maritime Defence Exhibition (IMDEX) oleh Singapura pada 3 hingga 5 Mei 2023.
IMDEX merupakan pameran maritim antarabangsa yang diadakan sejak 1997 dan telah melibatkan 22 buah kapal, enam pesawat dan 1,800 peserta dari pelbagai negara. -airtimes.my