Home Pertahanan dan Keselamatan Kastam rampas rokok seludup bernilai lebih setengah juta di Kuala Terengganu

Kastam rampas rokok seludup bernilai lebih setengah juta di Kuala Terengganu

by Bernama

KUALA TERENGGANU, 10 Mei – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu berjaya mematahkan cubaan mengedar rokok tidak sah bernilai RM564,000 dengan nilai cukai RM3.2 juta oleh satu sindiket dalam serbuan pada Sabtu lepas.

Turut dirampas 2 lori, sebuah bot fiber dan 2 enjin berkapasiti 250 kuasa kuda yang dianggarkan bernilai RM260,000.

Pengarah JKDM Terengganu Mohd Nadzri Ariffin berkata serbuan dilakukan pada 1.30 petang di Kampung Pengkalan Gelap, berhampiran kolam ternakan udang, hasil risikan dan maklumat orang awam.

Beliau berkata modus operandi sindiket berkenaan ialah membawa masuk rokok menggunakan bot fiber sebelum dipindahkan ke dalam lori untuk diangkut dan diedarkan ke pasaran Pantai Timur dan Lembah Klang.

“Bagaimanapun, anggota sindiket yang dipercayai sekitar 8 orang berjaya melarikan diri ke dalam kawasan belukar yang berpaya selepas menghidu kehadiran pihak penguat kuasa,

“Hasil pemeriksaan terdapat 470 peti rokok seludup dengan sejumlah 4.7 juta batang rokok pelbagai jenama di dalam 2 lori berkenaan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohd Nadzri berkata pemantauan dan siasatan mendapati aktiviti penyeludupan rokok di negeri ini tertumpu di sebelah utara Terengganu iaitu dari Besut ke Setiu disebabkan faktor geografi.

“Risikan mendapati kawasan pantai dari Besut hingga Setiu menjadi lokasi utama penyeludupan di Terengganu dan di situ terdapat banyak lorong tikus yang digunakan,

“Bagaimanapun kita sudah arahkan anggota membuat pemantauan setiap masa dengan kerjasama agensi keselamatan lain,” tambahnya.

Mohd Nadzri juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan melaporkan segera kepada pihak berkuasa kerana ia boleh mengancam keselamatan orang awam serta merugikan negara dari aspek kehilangan hasil. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!