MANILA, 7 OGOS – Amerika Syarikat menegaskan pihaknya akan menyalurkan bantuan ketenteraan kepada Filipina sekiranya negara kepulauan Asia Tenggara itu terus berhadapan dengan ancaman.
Perkara tersebut ditegaskan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat (U.S Department of State) dalam satu kenyataan yang mengulas pertembungan antara Kapal Pengawal Pantai China (China Coast Guard, CCG) dengan beberapa buah kapal milik Filipina di Ayungin Shoal (Second Thomas Shoal), baru-baru ini.
Dalam kejadian pada Sabtu lalu, pihak CCG telah melepaskan tembakan air terhadap kapal-kapal milik Pasukan Pengawal Pantai Filipina (Philippines Coast Guard, PCG) yang sedang dalam perjalanan untuk menghantar bekalan kepada pasukan tentera di BRP Sierra Madre.
“Tindakan oleh pihak China adalah bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan merupakan satu bentuk ancaman berulang terhadap status quo di kawasan Laut China Selatan,
“Ini sekaligus mengancam keselamatan dan kestabilan serantau,” kata Matthew Miller, Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat.
Menurut beliau, China tidak mempunyai sebarang tuntutan sah terhadap kawasan maritim di sekitar perairan terbabit berdasarkan keputusan Timbang Tara 2016 (Arbitral Award 2016) yang diputuskan oleh Mahkamah Tetap Tribunal (Permanent Court of Arbitration, PCA).
Tambahnya, Second Thomas Shoal dan kawasan perairan sekitarnya adalah terletak dalam kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Filipina.
“Amerika Syarikat menegaskan, selaras dengan Konvensyen Undang-Undang Laut 1982, keputusan timbang tara tersebut adalah muktamad dan sah secara undang-undang ke atas China serta Filipina,” katanya yang turut menggesa Beijing untuk mematuhi undang-undang antarabangsa.
Pada masa yang sama, kenyataan itu turut menegaskan komitmen Washington terhadap Perjanjian Pertahanan Bersama antara Amerika Syarikat dan Republik Filipina (Mutual Defense Treaty Between the United States and the Republic of the Philippines 1951).
Perjanjian tersebut merupakan batu asas kepada kerjasama sama pertahanan antara kedua-dua negara.
“Sebarang serangan bersenjata terhadap mana-mana kapal awam, pesawat dan juga aset tentera Filipina – termasuk kapal PCG akan mengaktifkan bantuan ketenteraan dari Washington,” kata kenyataan itu.
Semalam, pihak PCG mengesahkan insiden yang berlaku pada 5 Ogos lalu yang menyaksikan kapal-kapal negara kepulauan itu dihalang oleh CCG.
“Bot-bot ini telah digunakan oleh Angkatan Tentera Filipina (AFP) untuk menghantar bekalan kepada pasukan tentera yang beroperasi di BRP Sierra Madre di Ayungin Shoal,
“Tindakan oleh CCG bukan sahaja membahayakan keselamatan anak kapal PCG dan kapal bekalan, malah ia turut melanggar undang-undang antarabangsa,
“Ini termasuklah Konvensyen Undang-Undang Laut 1982, Konvensyen Peraturan Antarabangsa Bagi Mencegah Perlanggaran Laut 1972 dan keputusan Timbang Tara 2016,” kata PCG dalam satu kenyataan.
Tindakan oleh PCG itu turut mengundang kritikan keras dari pihak AFP yang menyatakan insiden pada 5 Ogos lalu sebagai satu perkara serius dan keterlaluan.
“Pihak tentera Filipina mengutuk dengan sekeras-kerasnya akan tindakan oleh CCG yang keterlaluan dan melanggar undang-undang,
“Salah satu daripada bot kami telah dipintas, dihalang dan ditembak dengan meriam air oleh sebuah kapal CCG,” kata pihak Angkatan Tentera Filipina dalam satu kenyataan.
Menurutnya, insiden tersebut telah menyebabkan salah buat daripada vesel terbabit gagal untuk melaksanakan misi ulang bekal.
“Kami menggesa pihak CCG untuk lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam tindakan mereka bagi mengelakkan sebarang kemalangan yang melibatkan jiwa,” jelasnya.
Filipina sebelum ini melaporkan beberapa insiden pertembungan dengan CCG di kawasan Ayungin Shoal. Pada Februari lalu, pihak PCG melaporkan kapal mereka telah dipancarkan laser oleh sebuah vesel CCG.
Selain daripada itu, Filipina turut digesa untuk terus mendedahkan tindakan agresif China kepada umum.
Perkara tersebut telah dinyatakan oleh pakar undang-undang maritim Filipina yang menegaskan China terus bertindak agresif terhadap PCG berikutan tiada sebarang pendedahan.
“Secara tepat, faktor utama kenapa China terus menggunakan taktik sebegini kerana tindak tanduk mereka tidak diketahui oleh dunia,
“Situasi sebegini terus memberikan China untuk bertindak dengan lebih teruk,” kata Dr Jay Batongbacal yang dipetik oleh media Filipina.
Ayungin Shoal turut dikenali sebagai Second Thomas Shoal. Ia merupakan salah satu terumbu yang terdapat dalam gugusan Kepulauan Spratly. Terumbu ini terletak 346 kilometer timur laut Pulau Layang-Layang.
Terumbu tersebut telah diduduki oleh Filipina semenjak tahun 1999 dengan meletakkan kapal pendaratan BRP Sierra Madre. Kapal pendaratan sebelum ini digunakan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat semasa Perang Dunia Ke-2 sebelum diserahkan kepada Vietnam Selatan. – airtimes.my