PUTRAJAYA, 6 JAN – Kerajaan dan enam pihak lain antara yang bakal dipanggil bagi menjawab serta mengesahkan kewujudan Titah Adendum, yang didakwa memberi kelonggaran hukuman kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Keputusan ini dibuat selepas Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini membenarkan Najib mengemukakan semakan kehakiman dalam kes berkenaan.
Mengulas lanjut, keputusan majoriti 2-1 itu diputuskan oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi bersama-sama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril.
Panel hakim memutuskan agar kes tersebut dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk mendengar merit semakan kehakiman dan menetapkan 13 Januari depan sebagai tarikh pengurusan kes di hadapan hakim berlainan.
Sementara itu, 7 responden dinamakan ialah termasuk Kerajaan Malaysia, Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara dan Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Manakala baki iaitu iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) serta Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri.
Terdahulu, pada 29 Januari 2024, Najib Razak telah memohon perintah mandamus untuk memaksa responden menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum yang membenarkan beliau menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah.
Titah berkenaan dikeluarkan oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang ketika itu memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Pada 1 April 2024, Najib kemudiannya memohon semakan kehakiman mengenai Titah Adendum di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
Bagaimanapun, pada 3 Julai 2024, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman, dengan alasan bahawa empat afidavit yang menyokong tuntutan tersebut dianggap sebagai khabar angin.
Manakala pada, 6 Januari 2025 (hari ini), prosiding pendengaran rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berlangsung dan mahkamah memutuskan Najib layak memaksa 7 responden yang telah dinamakan untuk menjawab serta mengesahkan kewujudan titah Adendum. -airtimes.my
#Mahkamah #NajibRazak #TitahAdendum #Airtimes