KOTA BHARU, 6 Jan – Kegiatan jenayah di sempadan Malaysia–Thailand terkawal sejak larangan menggunakan pangkalan haram di Sungai Golok berkuat kuasa 1 Disember lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, langkah memperkukuh kawalan dan penguatkuasaan di sempadan dua negara itu berjaya mengurangkan jenayah rentas sempadan dengan ketara.
“Setakat ini polis telah menahan tujuh individu kerana merentas secara haram, kita telah menuduh kesemua suspek dan mereka dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155),” katanya seperti dilapor Bernama.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri perhimpunan bulanan peringkat kontinjen Kelantan, hari ini.
Menurutnya, pihak berkuasa Thailand juga menyambut baik usaha pihak berkuasa Malaysia mengawal sempadan dan mereka akan melakukan perkara sama dengan menahan mana-mana individu yang menggunakan laluan haram.
“Seperti sedia maklum, daerah Pasir Mas adalah antara kawasan yang popular menjadi pilihan penyeludup dan individu yang menggunakan laluan haram berbanding di Tumpat dan Jeli,” katanya.
Beliau berkata, di Pasir Mas sahaja terdapat lebih 20 laluan haram yang telah dikenal pasti polis, dan Pasukan Gerakan Am (PGA) sentiasa membuat rondaan di kawasan sempadan itu.
Mohd Yusoff menjelaskan, polis juga telah menempatkan satu batalion Senoi Praaq dari Pengkalan Hulu, Perak untuk penugasan dan pengoperasian di sempadan Malaysia–Thailand bermula 1 Jan lepas dan berkawal di 17 pos PGA.
“Senoi Praaq telah mengambil alih pasukan sedia ada dan penugasan mereka di sempadan negara dilihat mampu mempertingkatkan lagi kawalan di sempadan Kelantan dan diharap terus memperkukuh keselamatan di negara ini,” katanya.
#keselamatan #Malaysia #airtimes #Thailand #PDRM