KUALA LUMPUR, 11 JULAI – UMNO merafak sembah memohon ihsan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim agar pelaksanaan Titah Addendum membenarkan tahanan rumah ke atas Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dapat dilaksanakan.
Permohonan itu dikemukakan selepas Peguam Negara dilaporkan telah mengesahkan kewujudan Titah Addendum yang memperkenankan pelaksanaan tahanan rumah ke atas bekas Perdana Menteri berkenaan, sebagaimana dimohon menerusi petisyen pengampunan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu menzahirkan rasa syukur atas pengesahan rasmi tersebut, yang memperakui titah Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Negara berpandukan Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.
“UMNO mengucapkan syukur ke hadrat Allah Taala dengan pengesahan kewujudan Titah Addendum oleh Peguam Negara semalam. Sekaligus memperakui titah bagi penahanan rumah Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak,
“UMNO merafak sembah memohon ampun dan ihsan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar titah tahanan rumah tersebut dapat dilaksanakan selaras dengan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong berpandukan Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.
“Semoga dengan limpah kurnia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku akan membolehkan Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak mendapat keringanan hukuman yang telah tertunda lebih setahun lalu,” katanya dalam kenyataan di media sosialnya, hari ini.
UMNO sebelum ini konsisten menggesa penjelasan berhubung dakwaan wujudnya Titah Addendum yang dikemukakan dalam petisyen pengampunan diraja Najib. Isu tersebut turut dibangkitkan secara rasmi dalam prosiding mahkamah oleh peguam bekas Perdana Menteri itu.
Mengulas lanjut, media sebelum ini melaporkan Jabatan Peguam Negara telah mengesahkan kewujudan dokumen berkaitan Titah Addendum yang diperkenankan semasa pentadbiran Yang di-Pertuan Agong ke-16, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Malah, pengesahan kewujudan Titah Adendum turut diperkuatkan menerusi sepucuk warkah rasmi bertarikh 4 Januari 2025 yang dihantar oleh Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang kepada anak Najib, Datuk Mohamad Nizar Najib.
Warkah tersebut telah memperkenankan penambahan kepada keputusan Lembaga Pengampunan pada 29 Januari 2024 yang membenarkan Najib menjalani baki hukumannya secara tahanan rumah.
Maklumat ini dikemukakan sebagai bukti tambahan dalam prosiding semakan kehakiman yang difailkan oleh pasukan guaman Najib di Mahkamah Rayuan, sekaligus membawa kepada keputusan membenarkan rayuan untuk semakan penuh oleh Mahkamah Tinggi.
Bagaimanapun, pelaksanaan sebenar titah tersebut, termasuk kemungkinan perintah tahanan rumah terhadap Najib, masih belum dimuktamadkan secara rasmi oleh pihak berkuasa berkaitan.
Najib kini menjalani hukuman penjara selepas disabitkan bersalah dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. Beliau sebelum ini telah mengemukakan permohonan pengampunan diraja dan kini menunggu keputusan terhadap keringanan hukuman yang dipohon. -airtimes.my
#TitahAdendum #UMNO #tahananrumah #Agong #Najib



