KUALA LUMPUR, 7 JAN – Titah Adendum adalah titah Yang di-Pertuan Agong, jika tidak diikuti maka secara perlembagaannya dianggap sebagai derhaka, kata Penganalisis Politik Profesor Dr Azmi Hassan.
Beliau yang juga Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara berkata, titah itu adalah titah jelas dan hukumannya berat kepada kumpulan atau individu yang menderhaka titah itu.
Ujarnya, memang terdapat masalah berhubung perlaksanaan titah adendum terutama dalam Ahli Lembaga Pengampunan.
“Memang ada masalah iaitu siapa yang bersalah dan siapa yang menyembunyikan titah adendum terutama sekali dalam ahli lembaga pengampunan itu sendiri atau adakah proses titah itu tidak diikuti.
“Jika diikutkan kenyataan daripada pejabat Peguam Negara, pihak mereka mengatakan titah adendum itu wujud tetapi proses perlaksanaan itu lebih kurang tidak diikuti,” katanya ketika dihubungi Airtimes pada Isnin.

Penganalisis politik, Profesor Dr Azmi Hassan
Jelasnya lagi, kesilapan proses titah tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah sesuatu yang amat mengecewakan kerana titah ini datang daripada Agong dan tidak sepatutnya berlaku kesalahan.
Terdahulu Airtimes melaporkan, titah tambahan (adendum) tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak disahkan wujud oleh Sultan Pahang, Al Sultan Abdullah.
Pengesahan titah tambahan tersebut dinyatakan melalui surat yang ditandantangani oleh Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Abdul Rahman yang mewakili Sultan Abdullah Ri’ayatuddin dan dialamatkan kepada anak Najib, Datuk Mohd. Nizar.
Dalam perkembangan sama, Najib berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dengan majoriti 2-1, membenarkan rayuan Najib, untuk mendapatkan kebenaran itu.
Keputusan majoriti dicapai oleh Azhahari dan Mohd Firuz manakala Azizah menentang keputusan terbabit. -airtimes.my
#semasa #Malaysia #airtimes #najib #titahadendum #tahananrumah