Home Pertahanan dan Keselamatan Keunikan aset pertahanan semata-mata tidak cukup dalam hadapi ancaman

Keunikan aset pertahanan semata-mata tidak cukup dalam hadapi ancaman

by Aqilah Azman

Keharmonian dan kesejahteraan sesebuah negara tidak akan terlepas dari sebarang ancaman, sudah pastinya setiap aspek diambil kira terutama berkenaan isu keselamatan. Keupayaan dan kedaulatan bagi sesebuah negara bergantung kepada kekuatan sistem pertahanan serta kemampuan aset pertahanan itu sendiri mahupun pentadbiran sesebuah negara.

Pembangunan modenisasi dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini adalah langkah awal dalam menstransformasikan sesebuah pasukan ATM di negara untuk seimbang, berwibawa, bersepadu dan sentiasa bersedia dalam menangani sebarang konflik ancaman dan cabaran yang mendatang.

Seiring dengan arus kemajuan dunia dalam era globalisasi, kecanggihan aset serta teknologi dalam sektor perkhidmatan ATM merupakan salah satu tanda aras yang penting. Ini bagi menyelaraskan keupayaan dan menjadikan ATM antara organisasi yang cekap dan sentiasa siapsiaga.

Bagaimanapun, kelebihan dan keunikan yang ada pada aset ATM tidak mencukupi dalam menghadapi cabaran geopolitik semasa yang sentiasa berubah-ubah. Bak kata pepatah Melayu, sediakan payung sebelum hujan, kekuatan dan keupayaan aset ATM perlulah berasaskan bentuk dan tahap ancaman kedaulatan semasa serta masa hadapan.

Pada masa yang sama, keperluan dan saranan oleh pihak ATM sebagai pengguna akhir atau end user perlulah didengari dalam memperkasakan benteng pertahanan Malaysia.

Oleh yang demikian, dalam usaha memodenkan atau mengemaskini keupayaan dan kesiagaan dalam aspek pertahanan, pelbagai perkara perlu dijadikan sebagai faktor pengimbang. Modenisasi tanpa mengambil kira keadaan ekonomi sudah tentu akan memberikan kesan tersendiri. Begitu juga kemajuan ekonomi yang tidak diberikan pelindungan pertahanan yang mencukupi.

Benar, keupayaan pertahanan dan keselamatan negara adalah insurans kepada tanah air. Tetapi, mengasingkan kemampuan pertahanan dan juga aspek ekonomi akan membawa kepada bala yang lebih besar. Secara tepat, kekuatan pertahanan dan kemampuan ekonomi perlu bergerak seiringan.

Melihat kepada Kertas Putih Pertahanan (KPP), ATM dan Kementerian Pertahanan Malaysia telah menetapkan perancangan jangka panjang dalam membangunkan keupayaan pertahanan yang merangkumi pemodenan pada aset persenjataan. Namun, menerusi perencanaan tersebut dalam memastikan ATM dilengkapi teknologi canggih, adalah sangat kritikal untuk menghadapi ancaman keselamatan yang semakin kompleks dan tidak konvensional.

“Setiap perolehan mengambil tempoh masa yang lama kerana aset dan kelengkapan ini perlu dihasilkan mengikut keperluan operasi dan spesifikasi teknikal yang ditetapkan oleh setiap perkhidmatan,” jelas Kementerian Pertahanan dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat di Parlimen pada tahun lalu.

Seperkara lagi, dalam menampilkan keberadaan ATM yang sentiasa digeruni dan dihormati, pelan penambahbaikan dan modenisasi pertahanan secara menyeluruh sudah tertentu berpandukan Pelan Pembangunan Keupayaan Dimensi Keempat ATM atau dikenali sebagai Fourth Dimension of Malaysian Armed Forces (4D MAF) serta KPP.

Demikian, perkara tersebut termasuk perancangan perolehan aset dan peralatan ketenteraan yang bersesuaian bagi mengekang tekanan keselamatan di Laut China Selatan dengan melibatkan beberapa strategi. Antaranya, meningkatkan keupayaan Tempur Maritim, dan keupayaan Daya Tahan Operasi Maritim (Domain Maritim) dan meningkatkan keupayaan Pertahanan Udara dan Serangan Udara Domain Udara).

Dapat dilihat dari aspek kedaulatan perairan, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah membangunkan pelan pembangunan keupayaan domain laut. Ini diterjemahkan melalui Pelan Transformasi 15-to-5 yang telah menjalani penjajaran semula pada tahun lalu. Pembangunan ini penting dalam memperkasakan keupayaan pertahanan dan kapasiti ATM untuk mencegah sebarang ancaman di kawasan perairan negara.

Selain itu, untuk memenuhi keperluan pengangkutan laut yang strategik dan operasi amfibi, TLDM melaksanakan perolehan kapal Multi Role Support Ship (MRSS) di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMKe-13). Di samping itu, aspek keupayaan TLDM yang lain perlu dimantapkan secara teliti.

Dari segi kekuatan udara pula, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memiliki pesawat tempur berkeupayaan tinggi seperti Sukhoi Su-30MKM dan F/A-18D Hornet. Kedua-dua pesawat ini telah pun setia menabur bakti dalam mempertahankan kedaulatan ruang udara Malaysia. Keupayaan ini turut didukung oleh pesawat Bae Hawk 108/208 yang bertindak sebagai pesawat latihan dan juga sokongan.

Pada ketika ini, pelan perolehan pesawat baharu untuk TUDM sedang giat dilaksanakan. Seperti warga TUDM dan rakyat Malaysia yang lainnya, kita sedang menantikan khabar gembira mengenai jet pejuang F/A-18 Hornet Kuwait dan juga kehadiran FA-50 Block 20 dari Korea Selatan.

Malah, pembangunan keupayaan pesawat tanpa pemandu (UAV) Anka dan juga pesawat rondaan maritim (MPA) Leonardo ATR72 sedang dipergiatkan. Selain itu, program Maritime Security Initiative (MSI) yang bermula pada tahun 2020 telah menyaksikan 3 buah pesawat CN235-220M telah ditingkat upaya kepada konfigurasi Maritime Surveillance Aircraft.

Di samping mempertingkatkan keupayaan aset, ATM dan Kementerian Pertahanan Malaysia turut memberikan penekanan kepada kerjasama serantau melalui inisiatif diplomasi pertahanan.

Walaupun terma diplomasi pertahanan agak kurang ‘menyengat’ di mata sesetengah pemerhati pertahanan tanah air – keperluan sebegini adalah penting bagi memastikan mengelakkan sebarang salah faham dan juga membolehkan ATM bekerjasama dengan rakan-rakan seangkatannya dalam melaksanakan operasi bersama.

Oleh yang demikian, prinsip peningkatan keupayaan berdikari, pertahanan menyeluruh, diplomasi, pemodenan angkatan tentera serta kerjasama serantau, adalah penting bagi melindungi dan mengekalkan keamanan negara agar terhindar dari sebarang anasir luar. -airtimes.my

#AirTimes #ATM #TLDM #TUDM #Pertahanan #ASEAN #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?