PUTRAJAYA, 6 JAN – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution hari ini menegaskan pihaknya hanya menerima surat perintah dari Lembaga Pengampunan bagi melaksanakan pembebasan awal dan pengurangan denda terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ini susulan dakwaan bahawa KDN, khususnya Jabatan Penjara, tidak mematuhi arahan dan menyembunyikan perintah berkaitan hukuman tahanan rumah.
Menurut beliau, pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menerima surat tersebut melalui Jabatan Penjara Malaysia pada 2 Februari 2024 selepas Lembaga Pengampunan bermesyuarat pada 29 Januari 2024.
“KDN khususnya Jabatan Penjara Malaysia telah menerima surat daripada Bahagian Hal Ehwal Undang Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri iaitu Sekretariat dalam Lembaga Pengampunan,” katanya semasa sidang media khas di KDN, Putrajaya.
Jelasnya, surat perintah tersebut telah ditandatangani oleh Sultan Pahang, Al Sultan Abdullah yang pada ketika itu sedang menjalankan tampuk pemerintahan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Selain itu, surat terbabit turut disaksikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa.
Saifuddin menjelaskan, minit mesyuarat tersebut merangkumi perbincangan dan keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengampunan, termasuk latar belakang kes serta perintah pelaksanaan yang melibatkan pengurangan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri.
Menteri Dalam Negeri membaca petikan akhir surat yang berbunyi seperti berikut:
“Maka oleh yang demikian beta, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, Kebawah Duli Yang Maha mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16, pada menjalankan kuasa yang terletak hak pada beta oleh Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan semua kuasa lain yang membolehkan bagi maksud itu adalah dengan ini memerintahkan bahawa Dato’ Sri Najib bin Tun Haji Abdul Razak dibebaskan pada tarikh pembebasan awal 23 Ogos 2028 dan denda dikurangkan kepada RM50 juta. Sekiranya denda tidak dibayar tempoh penjara bagi Datuk Seri Najib bin Tun Haji Abdul Razak ditambah selama setahun Dan tarikh pembebasan adalah 23 Ogos 2029,” ujarnya.
Dalam pada itu, Saifuddin menegaskan pihaknya hanya menerima perintah tersebut dan tiada sebarang arahan berkaitan tahanan rumah disebut dalam dokumen itu.
Ujarnya, pihak KDN melalui Jabatan Penjara Malaysia telah melaksanakan perintah yang telah dikemukakan oleh Lembaga Pengampunan.
“Jabatan Penjara yang melaksanakan perintah ini, perintah oleh Pengerusi Lembaga Pengampunan berserta dengan minit yang disertakan, maka Jabatan Penjara harus amanah dalam melaksanakannya,” ujar beliau yang turut menegaskan perintah tersebut satu-satunya diterima oleh pihak KDN.
Isu surat perintah adendum menjadi perhatian pada hari ini selepas Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan bekas Perdana Menteri untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap Titah Adendum.
Pada 3 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak pemohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap Titah Adendum.
Dalam keputusan 2 menyokong dan satu menentang oleh panel hakim, Mahkamah Rayuan memerintahkan kes tersebut dikembalikan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Prosiding di Putrajaya itu turut menyaksikan kewujudan Titah Adendum Tahanan Rumah terhadap Najib seperti yang diperkenankan oleh Al Sultan Abdullah semasa baginda memerintah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16. -airtimes.my
#KDN #Mahkamah #TitahAdendum #JabatanPenjara #NajibRazak
