Home SemasaAhmad Zahid: UMNO mohon pengampunan penuh untuk Najib

Ahmad Zahid: UMNO mohon pengampunan penuh untuk Najib

by Nurulhuda
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 6 Jan – UMNO hari ini memohon ihsan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk mempertimbangkan pengampunan penuh buat bekas Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Abdul Razak.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata permohonan itu dibuat berdasarkan kuasa prerogatif Baginda seperti yang termaktub di bawah Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau turut menjunjung kasih Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas perakuan sahih terhadap Titah Addendum yang mengesahkan wujudnya penahanan dalam rumah (house arrest) terhadap Najib.

“Perakuan ini, yang dizahirkan oleh Pengelola Bijaya Diraja Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, membuktikan kebenaran afidavit tambahan yang telah dibuat oleh saya dan Menteri Besar Pahang, Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam masa yang sama, Timbalan Perdana Menteri itu turut menegaskan bahawa UMNO akan terus menghormati proses perundangan yang sedang berlangsung, selain memperjuangkan keadilan buat bekas Perdana Menteri itu.

“Saya juga ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ahli-ahli UMNO serta penyokong setia yang tidak pernah lelah memberikan sokongan dan doa sepanjang perjalanan ini,” ujarnya lagi.

Terdahulu Najib berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dengan majoriti 2-1, membenarkan rayuan Najib, 72 untuk mendapatkan kebenaran itu.

Keputusan majoriti dicapai oleh Azhahari dan Mohd Firuz sementara Azizah menentang keputusan terbabit.-airtimes.my

#semasa #airtimes #Najib #Zahid #pengampunan #DaulatTuanku

Related Articles

Leave a Reply