KUALA LUMPUR, 10 JAN 2024 – Peguam, Haniff Khatri menegaskan, kegagalan penjawat awam tertentu untuk mendedahkan kewujudan Titah Adendum kepada umum merupakan satu pelanggaran serius terhadap sumpah jawatan mereka.
Beliau berkata, tanggungjawab penjawat awam adalah menjunjung Perlembagaan dan memastikan ketelusan dalam pentadbiran negara.
“Penjawat awam di bawah sumpah mereka wajib menjunjung perlembagaan dan peruntukan undang-undang. Dan apabila mereka gagal melaksanakan tugas itu maka ianya memungkiri sumpah perjawatanan,” ujarnya.
Haniff turut mengkritik tindakan segelintir individu yang menyembunyikan dokumen penting tersebut daripada pengetahuan umum.
Menurutnya, surat tambahan yang dialamatkan kepada Peguam Negara pada 29 Januari 2024, sepatutnya didedahkan kepada pihak berkepentingan termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, namun perkara itu tidak dilaksanakan.
Kegagalan ini, ujarnya, bukan sahaja kecuaian malah turut membuka ruang kepada tindakan undang-undang terhadap mereka yang terlibat.
“Mereka yang menyembunyikan dokumen ini terdedah kepada tindakan jenayah kerana menyembunyikan ataupun tidak mendedahkan satu dokumen undang-undang yang memberi kesan kepada orang lain iaitu Najib Razak,” jelasnya kepada AirTimes.
Dalam pada itu, Haniff turut menegaskan, kuasa Yang di-Pertuan Agong tidak terikat kepada peruntukan undang-undang tertentu, khususnya berkaitan kuasa istimewa diraja.
Katanya, kuasa pengampunan yang dimiliki oleh Agong merupakan kuasa tertinggi yang tidak boleh dihadkan walaupun wujud kekangan dalam undang-undang sedia ada yang lain.
“Jikapun Agong memberi perintah untuk tahanan di rumah, arahan berkenaan tidak tertakluk kepada wujud atau tidak wujud mana-mana undang-undang tahanan rumah. Kuasa mutlak Agong tidak tertakluk kepada mana-mana undang-undang,” tegasnya lagi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution menunjukkan bukti perintah yang diterimanya pada 2 Februari 2024 tidak melibatkan titah tahanan rumah (Foto: Utusan/Faiz Alif Zubir)
Terdahulu, pada Isnin (6 Januari 2025), Mahkamah Rayuan memutuskan untuk membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkaitan titah tambahan (Titah Adendum).
Semakan kehakiman tersebut bertujuan mengarahkan kerajaan dan enam pihak lain untuk memberikan penjelasan serta mengesahkan kewujudan Titah Adendum yang didakwa dikeluarkan oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang ketika itu merupakan Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Dokumen bertarikh 29 Januari 2024 itu mengandungi perintah agar Najib Razak diberi pembebasan awal pada 23 Ogos 2028, pengurangan denda kepada RM50 juta, serta menjalani baki tempoh hukuman penjara dalam menerusi tahanan rumah (house arrest).
Walau bagaimanapun, salah satu titah berkenaan dilaporkan tidak dilaksanakan.
Susulan itu pada 6 Januari, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution tampil membela diri.
Menurut beliau, KDN hanya menerima arahan rasmi daripada Lembaga Pengampunan pada 2 Februari 2024, yang merangkumi pembebasan awal dan pengurangan denda, tanpa sebarang maklumat berhubung pelaksanaan tahanan rumah.
Selain itu, KDN turut menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa pihaknya, khususnya Jabatan Penjara, telah bertindak merahsiakan dan menyembunyikan dokumen Titah Adendum tersebut. -airtimes.my
#Titah Adendum #NajibRazak #TahananRumah #AirTimes