MOSKOW, 28 OGOS – Ketua tentera upahan Wagner, Yevgeny Prigozhin telah disahkan terkorban dalam nahas pesawat yang berlaku di Moskow pada 23 Ogos lalu.
Perkara tersebut disahkan oleh badan penyiasatan Rusia yang menyatakan identiti Prigozhin disahkan melalui ujian DNA.
Menurutnya, ujian yang dijalankan telah mengesahkan kesemua 10 identiti penumpang pesawat persendirian Embraer yang terlibat dalam nahas di wilayah Tver.
“Ujian DNA telah lengkap dan keputusan menunjukkan identiti kesemua 10 mangsa telah dikenal pasti,
“Keputusan tersebut adalah berpadanan dengan senarai penumpang yang dikeluarkan oleh agensi penerbangan Rusia,” jelas Russian Investigative Committee dalam satu kenyataan.
Prigozhin merupakan ketua pasukan tentera upahan Wagner dan juga rakan rapat kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Diberikan nama jolokan Chef Putin kerana memiliki rangkaian restoran dan penyediaan makanan kepada Kremlin.
Turut terbunuh dalam nahas tersebut adalah Dmitry Utkin yang merupakan antara pemimpin Wagner yang terlibat dalam pemberontakan terhadap Putin.
Nama Prigozhin dan Wagner menjadi tumpuan ketika konflik Ukraine-Rusia kerana Wagner terlibat secara langsung dalam peperangan tersebut. Selain itu, pemberontakan pada penghujung Jun lalu sekali lagi meletakkan nama bekas sekutu rapat Putin dalam perhatian media dunia kerana melancarkan pemberontakan terhadap Moskow.
Ini berikutan rasa tidak puas hati yang memuncak Prigozhin terhadap Moskow yang didakwanya tidak cekap dan gagal dalam menyalurkan peralatan yang diperlukan oleh Wagner.
Pemberontakan 23 Jun itu telah menyebabkan Kremlin bergegas untuk mengatur gerak pasukan tenteranya bagi menghadapi kemaraan Wagner dari Rostov-on-Don ke Moskow dalam tempoh 24 jam.
Kekacauan yang ditimbulkan oleh Prigozhin berakhir selepas Presiden Belarus, Alexander Lukashenko berjaya memujuk beliau untuk menghentikan pemberontakan. Pada ketika itu, pasukan Wagner yang terdiri daripada 5,000 anggota telah berada 95 kilometer dari Moskow. – airtimes.my