JAKARTA, 28 OGOS – Syarikat pembinaan kapal terkemuka Indonesia, PT PAL telah memulakan peletakan tunas kapal frigat Merah Putih untuk angkatan laut negara itu.
Majlis peletakan tunas kapal frigat pertama telah disempurnakan oleh Brig Gen TNI Heru Sudarminto,mewakili kerajaan Indonesia dan Iqbal Fikri, Ketua Pengarah Operasi PT PAL.
Ia merupakan satu detik bersejarah bagi syarikat itu memandangkan ia merupakan kapal terbesar yang pernah dihasilkan oleh PT PAL.
Majlis tersebut telah dilaksanakan pada 25 Ogos lalu.
Frigat Merah Putih mempunyai sesaran 5,700 ton dan menggunakan rekabentuk Type 31 yang dihasilkan oleh Babcock International.
Rekaan Type 31 ini dipasarkan sebagai Arrowhead 140 dan turut digunakan oleh United Kingdom serta Poland.
Babcock Internasional sebelum ini telah bersetuju untuk mengeksport dan memberikan lesen kepada PT PAL bagi menghasilkan Type 31 yang diubahsuai. Tambahan pula, ia merupakan eksport pertama kapal tersebut diperingkat antarabangsa untuk syarikat itu.
Projek Frigat Merah Putih bermula dengan pemotongan besi yang pertama pada 9 Disember 2022.
Sebanyak 2 buah kapal Frigat Merah Putih akan dibina oleh PT PAL. Tentara Nasional Indonesia – Angkatan Laut (TNI-AL) dijangka akan menerima kapalnya yang pertama pada sekitar 2026-2027. – airtimes.my