Home SemasaGlobal #Global: New Zealand akui tenteranya ketinggalan, tidak sesuai hadapi cabaran masa hadapan

#Global: New Zealand akui tenteranya ketinggalan, tidak sesuai hadapi cabaran masa hadapan

by M.Daim

WELLINGTON, 7 OGOS – Kerajaan New Zealand menyatakan angkatan tenteranya pada ketika ini ‘ketinggalan’ dengan peredaran semasa.

Pengakuan berani tersebut disuarakan oleh Kementerian Pertahanan New Zealand dalam satu dokumen rasmi yang diterbitkan oleh negara Kiwi itu.

“Pasukan tentera yang ada pada ketika ini direka untuk menghadapi suasana yang aman tetapi bukan untuk mendepani cabaran strategik yang kian meningkat,

“Secara keseluruhan, angkatan tentera ini tidak mampu untuk bertindak balas dengan cabaran baharu di masa hadapan,” kata dokumen The Defence Policy and Strategy Statement.

Dokumen setebal 36 muka surat itu turut diterbitkan secara bersama dengan Future Force Design Principles.

Menurut Kementerian Pertahanan New Zealand dalam satu kenyataan, kedua-dua dokumen tersebut merupakan strategi keselamatan nasional yang pertama kali dikeluarkan oleh negara itu.

Jelasnya, kedua-dua dokumen terbabit menjadikan garis panduan dalam pembentukan angkatan masa hadapan bagi pasukan tentera negara itu.

Dokumen The Defence Policy and Strategy Statement dan Future Force Design Principles telah dilancarkan oleh Menteri Pertahanan New Zealand, Andrew Little

Menurut beliau, New Zealand perlu bertindak sewajarnya terhadap pelbagai ancaman keselamatan.

“Kita sedang melabur untuk memodenkan keupayaan kita di darat, laut dan udara,

“Pada masa yang sama, kita mengeratkan hubungan baik dengan negara rakan dan sahabat di rantau Pasifik serta dunia,” kata Andrew dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat lalu.

Dalam kenyataan yang sama, Setiausaha Pertahanan New Zealand, Andrew Bridgman menegaskan dokumen-dokumen yang dilancarkan pada hari ini merupakan rangka kerja dan strategi penting terutamanya dalam membuat keputusan di masa hadapan.

“Ancaman yang dihadapi oleh New Zealand semakin rumit dan mencabar,” katanya.

New Zealand merupakan antara Aturan Pertahanan Lima Negara (FPDA). Aturan ini turut disertai oleh Malaysia, Singapura, Australia dan United Kingdom. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply