Home Semasa #TeknologiPertahanan: Ukraine dakwa sistem pertahanan udara AS, Jerman berjaya gagalkan serangan udara Rusia

#TeknologiPertahanan: Ukraine dakwa sistem pertahanan udara AS, Jerman berjaya gagalkan serangan udara Rusia

by M.Daim

KYIV, 7 OGOS – Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy menyatakan sistem pertahanan udara yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat dan Jerman berjaya membendung gelombang serangan udara oleh Rusia.

Menurut beliau, Ukraine telah berjaya mengekang sejumlah besar serangan udara yang dilancarkan oleh Rusia pada minggu lalu.

“Kami telah berjaya menembak jatuh 65 peluru berpandu dari pelbagai jenis dan 178 dron serangan termasuk 87 Shahed,

“Namun begitu, terdapat kecederaan dan kemalangan jiwa di kalangan penduduk awam,

“Bangunan tempat tinggal dan fasiliti awam telah mengalami kemusnahan dalam serangan yang dilancarkan oleh Rusia,” kata Zelenskiy yang dipetik oleh Reuters.

Sementara itu, pasukan tentera Ukraine menyatakan Rusia telah melancarkan 30 serangan misil dan 48 serangan udara.

Kinzhal merupakan peluru berpandu hipersonik yang dilancarkan dari platform udara.

Jelas Zelenskiy, sistem pertahanan udara Patriot keluaran Amerika Syarikat dan IRIS-T dari Jerman telah berjaya menunjukkan keberkesanannya dalam membendung serangan oleh Moskow.

Kedua-dua sistem pertahanan udara tersebut merupakan sebahagian daripada bantuan persenjataan yang dibekalkan oleh masyarakat antarabangsa kepada Ukraine.

Ukraine sebelum ini melaporkan berjaya menembak jatuh peluru berpandu balistik hipersonik Kinzhal yang dilancarkan oleh lawannya pada akhir Mei lalu.

Kinzhal merupakan antara senjata strategik dihasilkan oleh Rusia semenjak tahun 2017. Peluru berpandu ini dikatakan unik kerana dilancarkan dari udara dengan menggunakan pesawat MiG-31BM/K dan pesawat pengebim Tu-22M3M.

Selain daripada itu, media Rusia melaporkan misil ini berupaya untuk menggempur sasaran sejauh 2,000 kilometer.

Sistem pertahanan udara Patriot amat dikenali umum kerana penggunaannya di beberapa medan konflik global.

Patriot – Veteran Perang Teluk di Ukraine

Sistem pertahanan udara Patriot mula direka pada era 1960-an oleh Raytheon. Sistem ini merangkumi pelancar, janakuasa, radar, sistem kawalan tembakan, dan juga jammer.

Sistem pelancar Patriot lazimnya dilengkapi dengan 4 misil PAC-2 atau 16 buah PAC-3. Misil PAC-2 mampu untuk menggempur sasaran sejauh 160 kilometer manakala PAC-3 adalah 40 kilometer.

Pun begitu, PAC-3 dilaporkan mempunyai kadar ketepatan tinggi kerana ia mempunyai radar pada misil. PAC-2 pula menggunakan fius dan akan meletup apabila ia menghampiri sasaran.

Lazimnya setiap bateri Patriot adalah terdiri daripada 5 hingga ke 8 unit pelancar yang menggabungkan penggunaan PAC-2 dan PAC-3.

Anggaran nilai untuk setiap bateri Patriot adalah US$1.1 bilion dengan US$400 juta untuk sistem dan US$690 juta misil. Secara purata, kos setiap misil Patriot adalah sebanyak US$4.1juta.

Patriot dilihat sebagai salah satu sistem pertahanan udara yang ampuh semenjak ia digunakan pada Perang Teluk (1990-1991). Pada ketika itu, Pa

Sistem artileri pertahanan udara gerak kendiri, Gepard merupakan antara sistem persenjataan yang dibekalkan oleh Jerman kepada Ukraine.

triot digunakan untuk membendung serangan peluru berpandu Scud dari Iraq ke Israel dan Arab Saudi.

Walaupun keberkesanan Patriot menjadi persoalan besar semasa awal penggunaannya, sistem pertahanan udara ini telah pun ditingkat upaya mengikut peredaran zaman.

Dalam Perang Ukraine-Rusia, Patriot telah dibekalkan oleh Amerika Syarikat, Belanda dan Jerman.

Walaupun tidak sepopular Patriot – IRIS-T memberikan impaknya tersendiri terhadap pertahanan udara Ukraine.

Iris-T

Selain Amerika Syarikat, Jerman turut membekalkan sistem pertahanan udaranya kepada Ukraine.

Negara Eropah itu telah membekalkan Gepard SPAAG dan juga IRIS-T kepada Kyiv. Sebelum ini, Berlin telah berjanji untuk membekalkan 4 buah IRIS-T kepada Ukraine.

Sehingga kini, Ukraine telah menerima 2 buah IRIS-T dari Jerman dan baki 2 buah lagi dijangka pada tahun 2024.

IRIS-T adalah merujuk kepada misil udara-ke-udara yang dihasilkan oleh Diehl Defense. Misil ini turut dikenali sebagai AIM-2000, yang menggunakan sistem panduan infra merah.

Dibangunkan pada era 1990-an, misil ini dibangunkan bagi menggantikan peranan AIM-9 Sidewinder melalui projek yang diketuai oleh Jerman dengan kerjasama beberapa buah negara anggota NATO yang lain.

Misil udara-ke-udara IRIS-T mula digunakan pada tahun 2005.

Misil udara-ke-udara IRIS-T atau AIM-2000 lazimnya digunakan pada F-16, Gripen, Tornado dan Eurofighter Typhoon.

Varian pertahanan udara jarak dekat, IRIS-T SLS mula diperkenalkan pada tahun 2015 dan varian jarak sederhana, IRIS-T SLM adalah pada tahun 2022.

Satu bateri IRIS-T SLM adalah terdiri daripada 3 trak pelancar dengan setiap satunya mampu untuk membawa 8 misil. Misil ini berupaya untuk mengempur sasaran pada jarak 40 kilometer. Sistem bateri ini akan mempunyai satu pusat kawalan yang bertindak sebagai arah dan perintah kepada penembakan.

Selain daripada Jerman dan Ukraine, sistem ini digunakan oleh Mesir, Norway dan Sweden. Malah, misil varian pertahanan udara IRIS-T turut digunakan pada NASAMS.

Bagi varian misil udara-ke-udara pula, IRIS-T lazimnya dapat dilihat pada pesawat Gripen, Eurofighter Typhoon, F-16V.

Sehingga kini, Thailand merupakan satu-satunya negara Asia Tenggara yang melengkapkan jet pejuang mereka dengan AIM-2000/IRIS-T. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply