Home Teknologi Pertahanan #Pertahanan: Lawatan ke Istanbul beri pendedahan kepada delegasi AMIM, MIGHT teroka kerjasama industri pertahanan

#Pertahanan: Lawatan ke Istanbul beri pendedahan kepada delegasi AMIM, MIGHT teroka kerjasama industri pertahanan

by Zaki Salleh

KUALA LUMPUR, 7 OGOS – Kerjasama membabitkan Malaysia dan Turkiye dalam bidang teknologi pertahanan terus digandakan menerusi lawatan kerja yang dilakukan pihak industri.

Ia diterjemahkan menerusi kunjungan Persatuan Industri Marin Malaysia (AMIM) dan Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) ke Istanbul, Turkiye pada 11 hingga 14 Julai lalu.

Kunjungan tersebut bagi meneroka kerjasama industri antara kedua-dua negara menerusi inisiatif Kolaborasi Program Teknologi Malaysia-Turkiye (Aeroangkasa serta Pembinaan dan Pembaikan Kapal atau SBSR).

Delegasi AMIM disertai wakil daripada Boustead Naval Shipyard (BNS), Labuan Shipyard and Engineering, Universiti Kuala Lumpur (MIMET) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Program dimulakan dengan lawatan ke ASFAT A.Ş. (Military Factory and Shipyard Management Inc.) dan Istanbul Naval Shipyard.

Para delegasi telah dibawa melihat operasi limbungan tersebut dengan lebih dekat.

Lawatan kemudian diteruskan ke STM iaitu syarikat Turkiye yang terlibat dalam industri pertahanan dan teknologi, integrasi sistem, kejuruteraan dan konsultan.

Lwaatan ini diharapkan memberikan nafas baharu terhadap industri pertahanan tanah air.

Sesi pertemuan bersama pengurusan kanan STM memberi peluang kepada para delegasi untuk bertukar-tukar pandangan selain membincangkan sebarang kerjasama yang boleh diteroka khususnya dalam sektor maritim.

STM turut menyertai beberapa firma perkapalan luar negara yang berminat untuk terlibat dalam program kapal misi pesisir (LMS) batch kedua Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

STM menawarkan kapal korvet kelas Ada untuk projek ini yang bakal melibatkan nilai perolehan sebanyak RM6.6 bilion bagi lapan buah kapal kesemuanya.

Disebabkan beberapa gambar semasa kunjungan ini dikongsi ramai dalam laman media sosial, maka ada yang membuat kesimpulan bahawa projek LMS TLDM telah pun bermula.

Sehingga kini Kementerian Pertahanan (MINDEF) belum pun membuat sebarang kata putus berhubung syarikat yang akan diberikan kontrak tersebut.

Semasa Pameran Antarabangsa Udara dan Maritim Langkawi pada Mei lalu, STM menjadi antara pempamer terbesar dalam Pavilion Turkiye.

Lawatan ini dilihat bakal memberikan sedikit petua kepada industri pertahanan Malaysia untuk menjejaki kemajuan yang digapai oleh Turkiye.

Cuma sebelum bermulanya LIMA 2023, banyak pihak dalam kalangan industri memberi bayangan bahawa MINDEF dijangka memulakan usaha perolehan tiga buah kapal LMS Batch 2 daripada lapan buah pada tahun ini.

Mengikut perancangan, lima buah lagi kapal-kapal LMS Batch 2 akan diperolehi pada Rancangan Malaysia ke-13.

Sesi lawatan ke Turkiye delegasi AMIM dan MIGHT kemudian meneruskan sesi dengan melawat Tubitak Marmar Teknoken iaitu sebuah pusat inovasi dan penyelidikan.

Ini khususnya meninjau limbungan perkapalan di negara itu memberi banyak input serta pendedahan yang baik untuk diterjemahkan dalam konteks pembangunan industri maritim di Malaysia.

Ia sangat bertepatan dengan hasrat kerajaan berhubung strategi jangka panjang untuk memajukan industri pembinaan dan pembaikan kapal.

Model sama boleh dijayakan dalam negara sekali gus memberi manfaat pada projek kerajaan yang melibatkan pihak berkepentingan seperti TLDM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Ini berikutan Malaysia-Turkiye berhasrat untuk menjalinkan kerjasama untuk projek melalui peringkat kerajaan dengan kerajaan yang memberikan impak besar.

Apa yang diharapkan agar lawatan oleh dua agensi yang terlibat secara langsung dalam industri dapat menterjemahkan sesuatu yang positif kepada negara. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply