BERLIN, 11 Jun – Airbus Defence and Space dan Diehl Defence menandatangani perjanjian untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang pertahanan udara dan peluru berpandu bersepadu (IAMD), dengan tumpuan kepada peningkatan keupayaan sistem pertahanan udara berasaskan darat yang dibangunkan kedua-dua syarikat.
Perjanjian itu ditandatangani sempena ILA Berlin Air Show 2026, menurut kenyataan Airbus Defence and Space.
Kedua-dua syarikat sebelum ini bekerjasama dalam sistem pertahanan udara berasaskan darat (GBAD), termasuk IRIS-T SLM, iaitu sistem jarak sederhana yang direka untuk melindungi bangunan, infrastruktur awam dan sasaran bernilai tinggi daripada ancaman udara.
Dalam kerjasama itu, Airbus Defence and Space membekalkan penyelesaian Command and Control (C2), manakala Diehl Defence bertanggungjawab terhadap keseluruhan sistem GBAD termasuk effector dan pelancar.
Menurut kenyataan itu, kedua-dua syarikat berhasrat mengenal pasti ruang penambahbaikan produk bagi menyediakan keupayaan lebih baik dan meningkatkan kelincahan penyelesaian bersama mereka.
Antara pendekatan yang dipertimbangkan ialah penubuhan persekitaran pembangunan “battle lab” yang boleh digunakan secara bersama.
Kerjasama tersebut turut menyasarkan integrasi lapisan dan keupayaan C2 generasi baharu dengan effector Diehl Defence bagi membangunkan sistem pertahanan yang berangkaian dan boleh disesuaikan dengan keperluan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) serta European Sky Shield Initiative (ESSI).
Ketua Pegawai Eksekutif Airbus Defence and Space, Michael Schoellhorn berkata, Airbus terus membentuk masa depan IAMD dengan menggabungkan sistem C2 syarikat itu yang telah terbukti dalam operasi dan diperakui NATO bersama keluarga IRIS-T SLS/SLM milik Diehl Defence.
“Kerjasama ini menjadi pemangkin utama serta asas kepada peluasan lanjut European Sky Shield Initiative (ESSI), dengan menawarkan seni bina terbuka bagi penyelesaian pertahanan udara yang boleh dipercayai dan berkesan kepada pelanggan sedia ada serta pelanggan baharu,” katanya.
Kenyataan itu turut menyebut Integrated Battle Management System (IBMS) dibangunkan dengan kerjasama rapat Angkatan Tentera Jerman dan menggunakan pengalaman beberapa dekad dalam bidang C2 serta rangkaian.
Prestasi IBMS dalam sistem IRIS-T SLM/SLS di Ukraine turut disebut sebagai pengesahan keberkesanan penyelesaian bersama berkenaan.
Airbus Defence and Space berkata, penyelesaian GBAD itu kini diterima pakai oleh beberapa negara termasuk Jerman, Bulgaria, Denmark, Estonia, Latvia, Slovenia, Sweden dan Switzerland.
Ketua Pegawai Eksekutif Diehl Defence, Helmut Rauch pula berkata, syarikat itu berbangga dengan pencapaian terdahulu bersama Airbus Defence and Space dalam bidang GBAD dan bersedia membawa kerjasama tersebut ke tahap seterusnya.
Beliau berkata, kedua-dua syarikat mampu menyediakan penyelesaian yang pintar dan boleh dipercayai bagi memenuhi keperluan pelanggan dalam bidang IAMD.-airtimes.my







