Dalam dunia yang semakin dipengaruhi ketidaktentuan geopolitik dan pertembungan kuasa besar, United Kingdom (UK) kini mengambil pendekatan yang lebih tegas dan berstruktur terhadap rantau Indo-Pasifik.
Melalui Strategic Defence Review 2025, Britain menegaskan, rantau ini bukan sahaja penting dari sudut perdagangan global, malah merupakan medan utama dalam persaingan strategik yang semakin sengit, khususnya antara China dan pakatan Barat.
Menurut dokumen itu, tindakan ketenteraan China di sekitar Selat Taiwan dan Laut China Selatan dianggap menyumbang kepada ketidakstabilan serantau serta berisiko mencetuskan konflik lebih besar. Sehubungan itu, UK melihat keperluan untuk mempertahankan peraturan antarabangsa dan memastikan kebebasan pelayaran dikekalkan.
Bagi menyokong matlamat ini, pertahanan British berperanan sebagai instrumen strategik untuk menyokong dasar luar dan komitmen antarabangsa London.

Pelbagai latihan dan kerjasama dilaksanakan oleh negara anggota FPDA di Malaysia dan Singapura. (Foto: Australia MOD)
Kerjasama serantau melalui FPDA
Salah satu pendekatan utama yang diketengahkan ialah pengukuhan kerjasama ketenteraan dan diplomatik sedia ada, terutamanya menerusi penyertaan aktif dalam Five Power Defence Arrangements (FPDA).
FPDA yang melibatkan Malaysia, Singapura, Australia, New Zealand dan UK terus diberi penekanan dalam semakan pertahanan tersebut. London menyifatkan pelaburan terhadap FPDA sebagai penting untuk memupuk saling kendali, kepercayaan strategik dan persefahaman jangka panjang dalam kalangan lima negara anggota.
Britain turut melihat FPDA sebagai platform untuk latihan bersama, pemindahan keupayaan, serta memperkukuh kehadiran ketenteraan yang mampan di Asia Tenggara.
Keupayaan UK dalam menjalin hubungan serantau turut diperkukuh oleh kehadiran tenteranya di Singapura dan Brunei, selain penempatan aset tetap seperti HMS Spey dan HMS Tamar di perairan Indo-Pasifik. Kedua-dua kapal ini memainkan peranan penting dalam operasi keselamatan maritim, bantuan kemanusiaan dan tindak balas bencana.
Selain FPDA, Britain juga memperkukuh jalinan kerjasama melalui perikatan yang lebih luas seperti AUKUS bersama Amerika Syarikat (AS) dan Australia, serta program pesawat tempur generasi baharu bersama Jepun dan Itali.
Gabungan inisiatif ini memberi isyarat jelas bahawa London berhasrat menjadi penggerak utama dalam membina jaringan pertahanan rentas benua demi kestabilan dan keselamatan Indo-Pasifik.

Strategic Defence Review 2025 menyatakan komitmen United Kingdom terhadap Aturan Lima Kuasa Pertahanan. (Foto: UK MOD)
Peranan ASEAN dan kuasa pertengahan
Menariknya, walaupun strategi pertahanan UK secara rasmi berteraskan pendekatan ‘NATO First’, kerajaan turut memberi penekanan terhadap hubungan strategik dengan negara-negara seperti Jepun, Korea Selatan, India dan Indonesia.
Dalam konteks ini, ASEAN dilihat sebagai rakan penting dalam mengekalkan kestabilan serantau. Justeru, UK berhasrat meningkatkan penglibatan jangka panjang dengan negara-negara kuasa pertengahan melalui saluran diplomatik, ketenteraan dan perkongsian teknologi.
Seiring dengan itu, pengukuhan kerjasama pertahanan dalam bentuk perkongsian keupayaan, maklumat risikan, latihan bersama dan pembangunan teknologi akan digerakkan menerusi jaringan Integrated Global Defence Network (IGDN), di mana FPDA dijangka memainkan peranan lebih besar.
Namun begitu, perlu diingatkan, dalam menghadapi keterbatasan sumber, UK turut mengakui kepentingan untuk mengoptimumkan pembahagian tanggungjawab dengan sekutu-sekutu Eropah yang turut mempunyai kepentingan di rantau ini.
Strategi perkongsian beban ini dijangka membantu UK menumpukan sumbernya secara lebih berfokus, terutama dalam sektor berimpak tinggi seperti keselamatan maritim, pemantauan ruang udara dan bantuan kemanusiaan ketika bencana.
Secara keseluruhan, Strategic Defence Review 2025 memperlihatkan hasrat UK untuk memainkan peranan lebih besar di Indo-Pasifik secara realistik. Melalui rangkaian seperti FPDA dan pelbagai kerjasama multilateral, Britain bukan sahaja mengekalkan kehadiran di rantau ini, malah bersedia menyesuaikan pendekatannya dengan cabaran keselamatan moden yang semakin kompleks. – airtimes.my
#AirTimes #Pertahanan #UK #FPDA #StrategicDefenceReview2025