Home Pertahanan dan Keselamatan Latihan FPDA pertingkat kesiagaan, keupayaan pertahanan negara

Latihan FPDA pertingkat kesiagaan, keupayaan pertahanan negara

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 23 Mac – Kementerian Pertahanan terus komited untuk membangunkan keupayaan dan kerjasama pertahanan negara terutama melalui latihan Peraturan Pertahanan Lima Negara atau Five Power Defence Arrangements (FPDA).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussien berkata, selain kerjasama ketenteraan, fungsi dan aktiviti FPDA diperkasa berdasarkan kepada keperluan strategik semasa dalam menangani isu-isu keselamatan bukan tradisional serta bantuan kemanusiaan termasuk bencana alam.

Menurutnya, FPDA menyediakan peluang kepada Malaysia dan Singapura untuk membangunkan keupayaan pertahanan melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan seperti latihan ketenteraan, kursus, seminar dan lawatan.

“Sejak penubuhannya, negara-negara anggota FPDA telah menjalinkan kerjasama ketenteraan melalui eksesais-eksesais konvensional yang menerapkan ketiga-tiga elemen latihan ketenteraan darat, udara dan maritim,

“Kerjasama ini adalah sebagai usaha untuk mempertingkatkan kesiapsiagaan dan keupayaan antara pasukan dalam menangani isu keselamatan serta pertahanan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam bagi menjawab pertanyaan Sanator Datuk Othman Aziz berkaitan sejauh manakah kerajaan mengoptimumkan kerjasama pertahanan pelbagai hala FPDA di antara Malaysia, untuk mengekang imperialisme China di Laut China Selatan sehingga mencerobohi perairan negara.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, kerajaan sentiasa menggunakan pendekatan diplomasi dalam mengendalikan isu di laut China Selatan.

Tambahnya, kerjasama ini termasuk mengadakan interaksi yang konstruktif dengan negara-negara yang berkepentingan termasuk negara China secara 2 hala atau pelbagai hala dalam memastikan keamanan di Laut China Selatan dan kestabilan serantau.

“Selain daripada pendekatan diplomasi pertahanan, penekanan juga diberikan kepada pembangunan keupayaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi membuat rondaan dan mengekang kehadiran kapal China di Zon Maritim Malaysia (ZMM),” tegasnya.

FPDA adalah satu kerjasama pertahanan pelbagai hala yang telah ditubuhkan sejak tahun 1971 dan dianggotai oleh Malaysia, Singapura, Australia, New Zealand dan United Kingdom.

Pada asalnya FPDA bertujuan untuk membangunkan keupayaan pertahanan udara Malaysia dan Singapura.

Setiap negara anggota akan saling berunding mengenai langkah-langkah yang harus diambil sekiranya berlaku ancaman luar terhadap Malaysia atau Singapura. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?