Home Semasa Kolumnis: Hanya berbekal semangat patriotik belum cukup untuk mempertahankan negara

Kolumnis: Hanya berbekal semangat patriotik belum cukup untuk mempertahankan negara

Baru-baru ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan terhadap aset keselamatan negara, khususnya kapal-kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang lama dan perlu ditukar.

Pertukaran aset yang berusia itu perlu dilakukan, demi memastikan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara dan dalam keadaan siap siaga. Sultan Selangor telah bertitah kerana Baginda adalah merupakan Kapten Yang di-Pertua TLDM.

Bayangkan bagaimana kita akan menghadapi pancaroba mempertahankan negara dengan situasi aset yang begitu membimbangkan ini.

Secara ringkasnya untuk cepat kita fahami, berikut adalah fakta yang agak mengerikan buat kita semua;

  1. Sehingga kini, TLDM dijangka mempunyai 4 buah kapal kombatan (berkeupayaan tempur secara penuh)
  2. Kali terakhir TLDM memperolehi kapal berstatus kombatan adalah pada tahun 1999 dengan perolehan 2 buah kapal kelas Laksamana dan 2 buah kapal kelas Lekiu, iaitu 25 tahun yang lalu.
  3. Lebih menyedihkan, Armada Timur sebelum ini menyatakan komposisi fleet adalah tidak mempunyai sebarang aset berkeupayaan tempur, hanya status peronda sahaja. Boleh rujuk laporan berita pada 4 Oktober 2022
  4. Perolehan kapal kombatan terbaharu adalah Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ship, LCS) dan juga Kapal Peronda Generasi Baharu (New Generation Patrol Vessel, NGPV) tetapi sehingga kini gagal disiapkan mengikut jadual.
  1. Majoriti kapal-kapal TLDM adalah 30 tahun ke atas dan ada diantaranya telah mencapai usia 50 tahun.
  1. Kapal Laksamana merupakan kapal yang dibeli oleh kerajaan Malaysia pada sekitar 1990-an dari Itali. Keempat-empat kapal ini dibina pada 1980-an untuk Tentera Laut Iraq tetapi serahannya dihalang berikutan sekatan PBB. Perolehan ini merupakan satu anjakan kuasa tempur TLDM pada ketika itu. Namun, situasi adalah tampak berbeza pada hari ini.
  1. Kebanyakan kapal yang dioperasikan telah dikategorikan usang kerana berada di luar “casting period” atau kitaran hayat masa operasi yang ekonomikal.

𝗕𝗔𝗥𝗨 𝗗𝗔𝗡 𝗟𝗔𝗠𝗔. KD Laksamana Hang Nadim berlayar bersama KD KERIS dalam satu latihan. KD Laksamana Hang Nadim merupakan salah satu daripada 4 buah kapal kelas Laksamana yang diperolehi pada era 1990-an. KD Keris pula adalah kapal pertama LMS yang diperolehi dibawah Pelan Strategik 15-to-5. Foto: TLDM

Kepimpinan TLDM tetap kreatif

 Bagi memastikan kapal masih berupaya untuk beroperasi, TLDM telah melaksanakan pelbagai program refit, repowering dan selenggaraan berjadual Obsolescence Programme (OP). Langkah-langkah ini dilakukan sebagai pemampan kepada kelewatan pelaksanaan program 15-to-5 akibat isu yang membelenggu LCS. 

Pelan Transformasi 15-to-5 merupakan perancangan strategik untuk membentuk keupayaan TLDM yang ampuh pada tahun 2030. Perancangan ini melibatkan pengurangan 15 buah kelas kapal sedia ada sebelum ini kepada 5 kelas.

Melihat kepada situasi pada masa kini, TLDM mahukan perolehan LMS Batch 2 (LMSB2) diteruskan pada kadar segera. Ini bagi menampung kekurangan aset kombatan sedia ada.

Selain daripada itu, kapal LMSB2 dikatakan lebih berupaya berbanding LMS sedia ada dan mempunyai sistem persenjataan yang lebih terperinci (tidak lagi mengamalkan konsep kontainerised module atau Fitted For But Not With, FFBNW).

TLDM perlukan anjakan bagi memastikan kekuatan angkatan laut setara dengan amanah yang dipikul untuk mempertahankan kedaulatan tanah air. Foto: TLDM

Anjakan Paradigma Pertahanan Amat Didambakan

Malaysia perlu membina keupayaan serta kepakaran dalam mencipta peralatan persenjataan sendiri, kerana, kebergantungan kepada negara luar dalam bidang ketenteraan juga diumpamakan seperti negara yang masih belum sepenuhnya merdeka.

Bagaimana boleh dilaksanakan, konsepnya sama seperti kita membangunkan industri permotoran negara, kita boleh bekerjasama dengan orang lain dan kuasai teknologinya, dengan kerjasama Jepun. Hari ini kita tidak bergantung kepada Jepun kerana sudah menguasai kecekapan untuk membuat kereta sendiri.

Pada masa yang sama kerajaan perlu memperkasakan ekonomi dengan adanya lebih banyak sumber kewangan untuk dibelanjakan, kerajaan telah menghidupkan semula rancangan jangka panjang pembaharuan angkatan tentera.

Kita juga jangan cepat melatah dengan propaganda luar yang mengatakan dengan memperkasakan pertahanan negara kita sebenarnya mencetuskan perlumbaan senjata di rantau ini. Persoalannya jika negara ini dikancah peperangan siapa yang akan membantu negara ini, bukankah pastinya kita akan bersendirian? Lihat sahaja perang Russia-Ukraine, apa yang terjadi sehingga hari ini?

Saya merasakan anjakan paradigma ini seharusnya menjadi 180 darjah. Tidakkah kita belajar apa-apa dari kejatuhan Empayar Melaka, utuh hanya 109 tahun. Runtuhnya Kota Melaka akibat kerajaan yang lemah, dan tewas akibat fitnah dan pengkhianatan dalaman serta kelemahan bala tentera dengan peralatan dan kelengkapan lapuk berbanding kecanggihan teknologi ketenteraan Portugis.

Adakah kita mahukan kemerdekaan kita tergadai sekali lagi disebabkan kelemahan yang sama? Ironinya negara bukannya bidak catur mainan mereka berkuasa ianya merupakan amanah yang punya tanggungjawab. Pastikan mereka yang berkuasa menunaikan tanggungjawab ini supaya ianya tidak menjadi DOSA BERPANJANGAN.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!