Home Teknologi Pertahanan RAH-66 Comanche: Helikopter tempur masa hadapan yang hilang ditelan zaman

RAH-66 Comanche: Helikopter tempur masa hadapan yang hilang ditelan zaman

by M.Daim

Helikopter tempur AH-64 sudah tentu amat dikenali dengan reka bentuknya yang unik. Tambahan pula, helikopter ini telah pun dioperasikan semenjak 1975 sehingga kini dengan pelbagai pembangunan varian termasuk yang terkini, AH-64E Guardian.

Sebelum ini, varian AH-64F dirancang sebagai varian baharu untuk helikopter ini tetapi Tentera Darat Amerika Syarikat (US Army) telah menolak untuk meneruskan pembangunan varian tersebut.

Sehingga kini, masih belum terdapat calon yang sesuai untuk menggantikan peranan AH-64 dalam US Army. Malah, perkara ini diakui sendiri oleh Pengarah Penjualan dan Pemasaran Global Program Helikopter Tempur Boeing, Jessie Farrington dalam satu laporan media pertahanan antarabangsa.

RAH-66 Comanche (depan) sebelum ini dirancang untuk ganti peranan AH-64 (belakang).

“Apache (AH-64) akan terus menjadi helikopter tempur utama US Army untuk tempoh  25 ke 30 tahun lagi,

“Sehingga kini, masih belum terdapat calon yang dapat menggantikan Apache,” katanya.

Penggantian Apache bukanlah satu perkara baharu dengan melihat pelaksanaan program RAH-66 Commache pada era 1990-an.

Pada ketika itu, Comanche disebut-sebut sebagai pengganti kepada Apache.

‘Program Helikopter Ringan Eksperimental’

Pembangunan Comanche bermula dengan pembentukan Program Helikopter Ringan Eksperimental (Light Helicopter Experimental, LHX). Program yang ditubuhkan pada tahun 1982 ini adalah untuk menggantikan peranan helikopter tempur (AH-1, UH-1) dan helikopter peninjau (OH-6, OH-58) yang kian uzur.

Program ini mempunyai matlamat yang besar di mana sebanyak 6,000 buah helikopter akan dihasilkan. Terdapat 2 versi helikopter yang dibangunkan iaitu helikopter peninjau/tempur (Scout/Attack, SCAT) dan utiliti.

Pada ketika itu, SCAT digariskan untuk berupaya untuk melaksanakan misi tempur ringan dan peninjau. Helikopter versi ini mempunyai satu tempat duduk dan dilengkapi dengan sistem persenjataan untuk mengempur sasaran permukaan serta udara.

Rekabentuk dan bahan buatan merupakan antara perkara yang dititikberatkan bagi memenuhi keperluan ciri-ciri stealth Comanche .

Versi utiliti pula digariskan untuk mempunyai persamaan (commonality) dari segi komponen dan alat ganti dengan SCAT. Apa yang membezakan utiliti dengan varian SCAT adalah peranannya untuk mengangkut trup dan hanya dilengkapi misil udara-ke-udara untuk pertahanan diri.

Melalui program ini, US Army merancang untuk memperolehi 2,000 unit SCAT dan 2,500 helikopter utiliti.

Akan tetapi, kos pembangunan untuk helikopter versi utiliti meningkat dan akhirnya menyebabkan pembangunan varian ini dibatalkan.

Tim yang terdiri daripada syarikat Boeing dan Sikorsky telah dipilih untuk membangunkan helikopter baharu, RAH-66 Comanche pada tahun 1991 dengan kontrak pembinaan 6 prototaip bernilai US$2.8 bilion.

“Comanche – Helikopter stealth”

Nama Comanche adalah bersempena salah satu suku kaum asli Indian Amerika Syarikat.  Penggunaan nama suku dan ketua kaum asli Indian Amerika Syarikat pada helikopter pernah menjadi satu peraturan yang ditetapkan oleh US Army. Walaupun ia tidak lagi menjadi peraturan tetap masa kini, tradisi sebegini masih lagi diteruskan sehingga hari ini.

Berbeza dengan rancangan LHX yang mempunyai satu tempat duduk, RAH-66 Comanche direka untuk lebih stealth dan lincah berbanding helikopter sebelumnya. Ciri-ciri stealth dapat dilihat pada reka bentuk dan bahan buatan pesawat. Kedua-dua ciri-ciri ini menjadikan Comanche untuk sukar dikesan dengan menggunakan teknologi pada waktu itu kerana mempunyai tetanda infa merah yang rendah (low infrared signature).

Selain daripada itu, permukaan luar helikopter dicat dengan bahan penyerap radar (radar-absorbent material) dan cat penahan infra merah (infrared suppressant paint). Ciri-ciri ini dilaporkan mengurangkan saiz keratan rentas radar (radar cross section) Comanche adalah 360 kali ganda lebih kecil berbanding Apache.

Comanche dilaporkan mempunyai keratan rentas radar yang lebih rendah berbanding Apache.

Rotor Comanche diperbuat daripada bahan komposit yang sekaligus mengurangkan tetanda bunyi (acoustic signature) pesawat berbanding helikopter lain.

Helikopter ini ditujah dengan 2 enjin turboshaft T800-LHTEC-801 yang membolehkan pesawat ini untuk melakukan manuver yang lincah. Comanche berupaya untuk terbang pada kelajuan sekitar  305-323 kilometer sejam. Ini menjadikan RAH-66 lebih pantas berbanding Apache (AH-64D0 yang mempunyai kelajuan 268 km/j.

Dilengkapi dengan 5 bilah rotor, helikopter seberat 4806 kilogram ini mampu untuk terbang sejauh 2331 kilometer.

Bagi memenuhi keperluan operasi sebagai helikopter tempur peninjau dan stealth, Comanche diperlengkapkan dengan avionik bagi membolehkan ia beroperasi dalam pelbagai keadaan masa dan cuaca.

Bagi tujuan mengesan sasaran, Comanche dilengkapi radar AN/APG-78 Longbow yang mempunyai jangkauan sejauh 8 kilometer. Radar ini berupaya untuk menjejak 128 sasaran dan melancarkan serangan terhadap 16 sasaran secara serentak.

Bilah rotor Comanche diperbuat daripada bahan komposit bagi mengurangkan tetanda bunyi helikopter.

Bagi mengekalkan ciri-ciri sebagai sebuah helikopter stealth, Comanche mempunyai ruang persenjataan (weapon bay) yang boleh ditutup (stowable). Ini merangkumi meriam Gatling 20mm dan roket serta misil pada sisi pesawat.

Selain meriam, Comanche direka untuk melancarkan misil Hellfire dan roket Hydra 70 bagi menggempur sasaran permukaan. Helikopter ini juga dilengkapi dengan misil Stinger bagi tujuan mempertahankan diri dari ancaman udara.

‘Belanjawan dan pembangunan’

Prototaip Comanche kali pertama diterbangkan pada 4 Januari 1996. Dalam penerbangan pertama ini, helikopter tersebut telah berjaya melakukan penerbangan ulung selama 39 minit. Walaupun berjaya melaksanakan penerbangan sulung, hakikatnya program ini telah mengalami kelewatan.

Jadual sebenar penerbangan ulung Comanche sepatutnya pada Ogos 1995 namun ia tidak dapat dilakukan berikutan masalah teknikal dan perisian pesawat. Prototaip kedua kemudiannya diterbangkan pada 30 Mac 1999.

Walaupun perancangan awal adalah melibatkan pembinaan 6 prototaip, namun kos yang kian meningkat telah menyaksikan beberapa siri rombakan terhadap program ini.

Dalam laporan oleh Jabatan Audit Amerika Syarikat (United States General Accounting Office, US GAO) pada tahun 1992, kos pembangunan telah meningkat sebanyak 40 peratus.

Laporan sama menyatakan peningkatan kos ini telah memberikan gambaran berbeza jika dibandingkan dengan tujuan pembangunan Comanche yang dianggap sebagai pembinaan helikopter tempur kos rendah.

Menurutnya, kos Comanche telah melebihi US$ 1 juta berbanding Apache. Malah, US GAO memberikan saranan kepada Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat untuk menyemak semula program RAH-66 Comanche.

Projek Comanche mengundang kontroversi berikutan kos pembangunan yang meningkat berkali ganda berbanding perancangan sebelumnya.

Pun begitu, pembangunan helikopter ini tetap dijalankan dengan meneruskan ujian penerbangan kepada 2 prototaip utama.

Pada Oktober 2002, penstrukturan semula dilakukan untuk kali ke-6 untuk program Comanche. Penstrukturan semula ini melibatkan tambahan US$3.4 bilion kepada program pembangunan yang telah menelan belanja US$3.1 bilion.

Selain daripada itu, sasaran perolehan telah dikurangkan 650 unit. Pada ketika itu, Comanche dijangka akan mula digunakan pada tahun 2009 berbanding perancangan asal iaitu tahun 2006.

Pengurangan kos ini telah meningkatkan harga seunit helikopter dari US$2.4 juta kepada US$32.2 juta.

‘Batal’

Setelah hampir US$6.9 bilion dibelanjakan dan 20 tahun pembangunan, program Comanche akhirnya dibatalkan oleh US Army pada tahun 2004. Perkara ini sudah tentu menimbulkan kontroversi kerana begitu banyak belanja yang dikeluarkan bagi memastikan program ini berjalan.

Pun begitu, Pentagon dan Washington mempunyai alasan dan hujahnya yang tersendiri.

“Ianya satu keputusan yang besar, tetapi kita tahu bahawa ianya satu langkah yang terbaik (untuk dilakukan)” kata Ketua Staf Tentera Darat Amerika Syarikat pada ketika itu, Jeneral Peter Schoomaker ketika mengulas keputusan pembatalan projek Comanche.

Projek artileri masa hadapan, XM2001 Crusader merupakan antara projek yang telah dibatalkan oleh kerajaan Amerika Syarikat

RAH-66 Comanche bukanlah satu-satunya projek yang telah dibatalkan oleh Amerika Syarikat pada waktu itu. Antara projek yang dibatalkan adalah pembangunan sistem artileri generasi baharu, XM2001 Crusader. Projek ini dibatalkan selepas US$ 2 bilion dibelanjakan dalam 2 tempoh tahun ia dilaksanakan.

Selain daripada itu, US Army telah memutuskan untuk memberi fokus kepada perolehan pesawat tanpa pemandu seperti Hunter dan Raven.

RQ-5 Hunter telah pun digunakan oleh US Army sebagai UAV jarak dekat dalam pelbagai operasi termasuk di Kosovo dan Iraq.

Sementara itu, Raven masih lagi digunakan sehingga hari ini.

TAI ATAK 129 merupakan satu-satunya helikopter penyerang yang masih menggunakan enjin LHTEC T800.

‘Rugi?’ 

Secara lahiriah, pembatalan projek sebegini boleh dikatakan satu kerugian besar dengan mengambil kira kos, masa dan tenaga yang telah dikerah sepanjang tempoh pelaksanaan. Tetapi, bagi Pentagon, pembatalan sebegini bukanlah satu usaha yang sia-sia.

“Banyak perkara yang kami pelajari dari Comanche dan ia dijadikan sebagai batu loncatan kepada asas teknologi pesawat rotor pada masa hadapan,” kata Schoomaker.

Walaupun program helikopter stealth ini telah pun batal, legasi teknologi Comanche masih dapat dilihat sehingga ke hari ini. Antaranya enjin LHTEC T800 dan aplikasi stealth yang dibangunkan pada Comanche.

Enjin LHTEC T800 merupakan varian eksport T800-LHTEC-801yang dihasilkan untuk Comanche. Enjin ini digunakan pada beberapa model helikopter termasuk Super Lynx.

Enjin LHTEC T800 yang dihasilkan secara bersama oleh Rolls-Royce dan Honeywell ini pada mulanya digunakan untuk RAH-66 Commanche sebelum projek tersebut batal. Namun, enjin helikopter ini masih digunakan dalam pasaran komersil dan eksport di bawah designasi CTS800.

CTS800 digunakan pada helikopter Super Lynx 300, AW159 Wildcat, TAI T625 dan T129 ATAK.

Helikopter Blackhawk yang direka khas dalam operasi menyerang Osama Bin Laden dilaporkan menggunakan beberapa ciri-ciri yang pernah dihasilkan semasa pembangunan RAH-66 Comanche,

Konsep stealth pula dapat dilihat pada helikopter Blackhawk khas yang terhempas dalam operasi menangkap Osama Laden di Pakistan pada tahun 2011. Helikopter tersebut dilaporkan mempunyai susunan hub rotor yang sama dengan Comanche. Selain daripada itu, rekabentuk dan bahan buatan Comanche turut diserap pada helikopter terbabit. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply