KOTA KINABALU, 29 SEPT – Enam buah kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah melaksanakan latihan Perang Borneo Siri 4/23 pada 25 hingga 27 Septermber lalu.
Markas Pemerintahan Armada Timur (MPA Timur) memaklumkan, latihan berkala ini melibatkan, KD PERAK selaku Ketua Gugus Tugas, KD SELANGOR, KD KELANTAN, KD BADIK, KD GANAS dan KD RENCONG.
Menurutnya, latihan ini adalah sebagai pendekatan dinamik bagi melatih dan menilai keupayaan aset serta kecekapan warga di Armada Timur dalam 3 aspek penting iaitu navigasi, komunikasi serta peperangan maritim.
“Masih mengekalkan objektif serampang 2 mata, platform Perang Borneo ini dijadikan ruang untuk meningkatkan tahap pengetahuan dan kecekapan warga kapal di samping memperagakan kehadiran aset TLDM di Zon Maritim Malaysia (ZMM) Sabah,
“Ia turut menekankan aspek pelaksanaan perintah dan kawalan semasa pelaksanaan penembakan sasaran permukaan statik,” jelas MPA Timur menerusi hantaran di media sosialnya.
Tambah hantaran itu, Perang Borneo kali ini diakhiri dengan sesi Post Exercise Debrief.
“Dalam latihan ini, segala pemerhatian dan penilaian yang dikongsikan oleh Bahagian Kesiagaan (N10) Armada Timur dapat menyumbang ke arah kecemerlangan dan peningkatan momentum warga Armada Timur diketengahkan serta diperhalusi,” jelas hantaran itu lagi. -airtimes.my